AM

ANWAR PENGERUSIKAN MESYUARAT MAJLIS PERUNDINGAN PIMPINAN SEKRETARIAT KERAJAAN PERPADUAN

19/08/2025 07:33 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2025, di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Kenderaan yang membawa Anwar dilihat memasuki kediaman rasmi Perdana Menteri itu pada 4.50 petang.

Selain Anwar, beberapa pemimpin utama Kerajaan Perpaduan turut kelihatan menghadiri mesyuarat berkenaan, iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.

Turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan dan Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi. 

Mesyuarat yang bermula pada 5 petang itu berakhir kira-kira pukul 6.45 petang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan