JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN LELAKI SEBAR KENYATAAN PALSU KES ZARA QAIRINA

19/08/2025 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) --Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menyebarkan kenyataan tidak benar berhubung siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata lelaki berusia 51 tahun itu dikesan memuat naik video mengandungi audio perbualan kononnya hasil penemuan bedah siasat yang mendakwa kematian pelajar terbabit adalah pembunuhan terancang.

Beliau berkata video berdurasi dua minit enam saat itu dikesan dimuat naik pada 15 Ogos lepas di sebuah akaun TikTok dengan tajuk ‘Pendedahan Penemuan Bukti Bedah Siasat Zara’.

“Turut dirampas adalah satu unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kes ini. Suspek yang ditahan pada 10.20 malam semalam itu turut direman tiga hari bermula hari ini hingga 21 Ogos ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata siasatan berhubung insiden penularan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Keputusan untuk mengadakan inkues terhadap kes kematian Zara Qairina telah dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 13 Ogos 2025.

“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam atau mengganggu prosiding mahkamah,” katanya.

Beliau berkata masyarakat juga diingatkan agar tidak mudah mempercayai sebarang maklumat di media sosial tanpa menentusahkan kesahihannya terlebih dahulu terutama berkaitan isu keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara.

Justeru itu, Kumar berkata PDRM menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan profesional dan mengelak daripada membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Pada 12 Ogos, AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan PDRM berhubung kes tersebut.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Sabah pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pagi 16 Julai.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan