Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri aliran kenaikannya dan ditutup lebih rendah pada Selasa, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Beliau berkata, ini susulan kenaikan harga mendadak baru-baru ini yang dijangka menjejaskan permintaan selanjutnya.
Menurut Ng, apabila jurang harga di antara minyak sawit dengan minyak kacang soya terus merosot, ia akan menjadikan minyak sawit lebih mahal berbanding minyak kacang soya.
“Oleh itu, harga minyak kacang soya yang lebih rendah akan menjejaskan sentimen pasaran.
“Kami melihat paras sokongan pada RM4,500 dan paras rintangan pada RM4,680,” kata Ng kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta September 2025 susut RM27 kepada RM4,449 setiap tan, Oktober 2025 turun RM31 kepada RM4,429 setiap tan dan November 2025 merosot RM38 kepada RM4,521 setiap tan.
Kontrak Disember 2025 berkurang RM42 kepada RM4,530 setiap tan, Januari 2026 mengecil RM43 kepada RM4,527 setiap tan dan Februari 2026 menyusut RM44 kepada RM4,503 setiap tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 95,632 lot daripada 70,059 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka naik kepada 253,319 kontrak daripada 249,400 sebelumnya.
Harga fizikal MSM untuk Ogos Selatan kekal tidak berubah pada RM4,470 setiap tan.
-- BERNAMA