JENAYAH & MAHKAMAH

TIGA BERANAK TERSELAMAT KERETA DIHEMPAP POKOK DI SERI ISKANDAR

19/08/2025 10:48 PM

IPOH, 19 Ogos (Bernama) -- Berpantang maut sebelum ajal. Itulah pepatah tepat menggambarkan detik cemas dilalui sepasang suami isteri dan bayi mereka berusia 10 bulan apabila kereta yang dinaiki dihempap sebatang pokok yang tumbang ketika melalui jalan Ipoh–Lumut dekat Seri Iskandar, petang tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihak bomba menerima panggilan kira-kira pukul 6 petang dan sepasukan 17 anggota bergegas ke tempat kejadian.

"Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang sedang melalui jalan utama Ipoh–Lumut telah ditimpa sebatang pokok besar dan mengenai bahagian tengah kereta.

"Terdapat seorang pemandu lelaki dewasa di bahagian tempat duduk pemandu dan seorang wanita dewasa berada di tempat duduk belakang terperangkap di dalam kereta, bayi mereka pula diselamatkan oleh orang awam terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata anggota bomba melakukan pemotongan dahan dan batang pokok yang menimpa kenderaan itu menggunakan gergaji rantai dan peralatan khas Rescue Cutter untuk mengeluarkan suami isteri yang masing-masing berusia 37 dan 31 tahun itu.

Shazlean berkata kedua-dua mangsa terbabit tidak mengalami kecederaan, namun dihantar ke hospital menggunakan ambulans selepas mengadu sakit pada bahagian kaki.

"Bayi mangsa telah diserahkan kepada keluarganya yang berada di lokasi kejadian," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan