MEXICO CITY, 20 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pada Selasa mengkritik latihan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Laut Caribbean berhampiran Venezuela, lapor Xinhua.
Beliau menegaskan semua pertikaian mesti diselesaikan melalui dialog, sambil mengulangi pendirian kerajaan Mexico mengenai “tidak campur tangan” dan “hak menentukan nasib sendiri.”
Presiden Venezuela Nicolas Maduro pada Isnin mengumumkan keputusan untuk menggerakkan 4.5 juta tentera awam militia (civilian militias) di seluruh negara bagi menghadapi ancaman perang daripada AS.
Pengumuman Maduro itu dibuat selepas kenyataan Menteri Pertahanan Venezuela, Vladimir Padrino Lopez yang menuduh Washington cuba mewajarkan tindakan ketenteraan di Caribbean atas alasan memerangi pengedaran dadah.
Awal bulan ini, Peguam Negara AS Pamela Bondi menawarkan ganjaran sebanyak US$50 juta bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan Maduro, dengan menuduh beliau mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah antarabangsa.
-- BERNAMA-XINHUA