AM

41,696 PERMOHONAN DITERIMA DI BAWAH PELAN TINDAKAN KL20 - CHANG

20/08/2025 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 41,696 permohonan telah diterima merentasi kesemua 12 inisiatif utama di bawah Pelan Tindakan KL20, dengan sejumlah 40,751 penerima manfaat hingga 30 Jun lepas, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang. 

Beliau berkata menerusi portal Tetingkap Tunggal MyStartup, sebanyak 4,464 syarikat pemula aktif telah mendaftar dan jumlah itu menunjukkan minat serta sambutan luar biasa bagi inisiatif ditawarkan Pelan Tindakan KL20. 

“Pada tahun ini, kedudukan Kuala Lumpur telah meningkat ke tangga ke-18 dalam senarai Emerging Startups Ecosystems yang diterbitkan oleh Startup Genome berbanding pada 2024 di tangga 21-30,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang ingin tahu status semasa pelaksanaan Pelan Tindakan KL20 dan bagaimana kementerian boleh memposisi Malaysia sebagai hab syarikat pemula yang kompetitif di peringkat ASEAN.

Menjawab soalan tambahan Tan yang bertanyakan mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa inisiatif tersebut hanya untuk golongan tertentu terutamanya syarikat dan pelabur asing sahaja, Chang menafikan dakwaan berkenaan.

“…kami menafikan dakwaan tersebut sebab KL20 ini bukan satu inisiatif yang hanya menarik minat syarikat pemula bakat ataupun pelabur asing yang masuk ke dalam negara, malah ia juga turut memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula tempatan di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) sebagai agensi pelaksana akan terus memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula tempatan negara melalui beberapa inisiatif walaupun selepas negara bukan lagi pengerusi ASEAN. 

Beliau berkata antara inisiatif tersebut termasuk penubuhan pusat kecemerlangan (COE), pengukuhan platform serantau, akses pasaran ASEAN yang berfokus Malaysia serta pemetaan dan penyelarasan program. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan