BUTTERWORTH, 20 Ogos (Bernama) -- Seorang bekas ejen penasihat tuntutan sebuah firma guaman didenda RM97,200 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu berhubung tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dua tahun lepas.
Ari Arjunan, 37, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya.
Lelaki itu didakwa secara tidak jujur telah menipu dua orang pemohon, dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa dia boleh menguruskan peratusan tafsiran penilaian Hilang Upaya Kekal (HUK) yang tinggi oleh jemaah doktor dalam tuntutan PERKESO HUK, sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai masing-masing RM 50,000 dan RM47,200 kepada tertuduh.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Old Town White Coffee Seberang Jaya pada Sept 2023, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar, manakala lelaki itu diwakili peguam S. Parameswaran.
Hakim Zulhazmi Abdullah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM50,000 untuk pertuduhan pertama dan RM47,200 bagi pertuduhan kedua serta memerintahkan penjara setahun jika gagal membayar denda itu.
-- BERNAMA