PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia memberi input sewajarnya setelah cadangan untuk menubuhkan tribunal berhubung kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak dibawa ke Jemaah Menteri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini memandangkan KPWKM bertanggungjawab terhadap Akta Kanak-Kanak 2001 dan beberapa akta lain yang berkaitan.
"Kementerian memainkan peranan yang agak penting adalah kementerian kita (KPWKM). Cuma kita tunggu dibawa ke Kabinet nanti dan akan beri input berdasarkan apa akan dikemukakan kerana kita menjaga Akta Kanak-Kanak 2001 dan akta lain untuk kanak-kanak.
"Tetapi, inilah yang mungkin kita perlu melihat kepada apa relevan dari segi tribunal tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran The Wall of Iron Strong anjuran Danone Malaysia di sini hari ini.
Mengenai penubuhan tribunal itu, Nancy berkata usaha berkenaan perlu disambut baik dan KPWKM sentiasa komited untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kebajikan serta kesejahteraan kanak-kanak.
"Kalau ia di bawah kementerian kami (KPWKM) maka kami akan kerja keras ataupun mungkin di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU)," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilapor berkata cadangan penubuhan tribunal berhubung kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Ini susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata bahawa kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal Akta Anti-Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal, bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.
Azalina berkata perbincangan di peringkat dasar amat penting kerana setiap kementerian berkaitan seperti KPWKM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Perpaduan Negara mempunyai pandangan tersendiri mengenai aspek penguatkuasaan akta berkenaan.
Beliau juga dilapor berkata isu utama ketika ini ialah ketiadaan definisi khusus berkaitan perbuatan atau hukuman bagi kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada.
Kes-kes berkaitan buli pada masa ini ditangani melalui pelbagai akta antaranya seperti Akta Keselamatan Dalam Talian, Akta Antigangguan Seksual, undang-undang buruh serta beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata KPWKM meneruskan kerjasama strategik bersama Danone dalam usaha meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak khususnya di institusi di bawah seliaan kementerian itu.
Beliau berkata The Wall of Iron Strong merupakan usaha bersama rakan strategik, Danone serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam memerangi anemia, iaitu kekurangan zat besi dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.
Nancy berkata Iron Strong Study dari Danone mendapati bahawa satu daripada tiga kanak-kanak berusia enam hingga 36 bulan berisiko mengalami anemia kekurangan zat besi.
"Risiko ini paling tinggi ketika usia enam hingga 12 bulan (34.5 peratus), dan masih tinggi pada usia 12 hingga 36 bulan (27.7 peratus).
"Angka ini bukan sekadar statistik. Ia adalah cerminan cabaran sebenar sedang dihadapi kebanyakan keluarga di Malaysia, terutamanya ibu bapa muda yang mahukan terbaik untuk anak mereka," katanya.
Beliau berkata masalah itu bukan perkara kecil memandangkan kekurangan zat besi boleh menjejaskan tumbesaran fizikal, keupayaan pembelajaran dan juga keyakinan diri anak-anak.
"Atas sebab itu, kerajaan menyokong pelaksanaan saringan mandatori anemia kekurangan zat besi di klinik kanak-kanak di seluruh negara.
"Langkah ini juga seiring dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang menekankan kepentingan penjagaan kesihatan preventif dan perluasan akses kepada infrastruktur serta perkhidmatan asas, termasuk di kawasan luar bandar," katanya.
-- BERNAMA