KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- TSH Resources Bhd melaporkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM49.23 juta bagi suku kedua berakhir pada 30 Jun 2025 berbanding RM20.63 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, disokong oleh produktiviti dan harga produk sawit yang lebih baik.
Kumpulan perladangan minyak sawit itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pendapatan turut meningkat kepada RM268.77 juta daripada RM252.52 juta.
Untuk separuh pertama 2025, keuntungan bersih naik lebih dua kali ganda kepada RM97.42 juta berbanding RM40.70 juta sebelum ini, manakala hasil menokok kepada RM544.10 juta daripada RM494.90 juta.
Kumpulan itu mencatatkan kenaikan pendapatan untuk suku kedua tahun kewangan 2025 selepas disumbangkan oleh peningkatan dalam hasil sebanyak RM19.3 juta daripada segmen produk sawit.
Hasil daripada segmen kelapa sawit yang lebih baik pada suku kedua tahun kewangan 2025 disumbangkan daripada jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM), isirong sawit (PK) serta harga jualan PK yang amat memberangsangkan walaupun harga jualan MSM adalah lemah.
TSH Resources ketika mengulas mengenai prospek berkata kumpulan itu tetap yakin untuk menyampaikan prestasi penuh tahun yang memuaskan pada 2025 dengan lembaran kira-kira yang kukuh, kedudukan tunai bersih pada suku kedua 2025 dan aliran tunai yang konsisten, ini akan menyediakan asas yang mantap bagi pertumbuhan masa depan walaupun adanya cabaran luaran.
"Kumpulan sedang mencatatkan kemajuan melalui program penanaman baharunya, yang akan mengembangkan tanaman dalam hektar pada tahun-tahun akan datang, menyokong produktiviti masa depan dan meningkatkan nilai pemegang saham," katanya.
-- BERNAMA