AM

80 HEKTAR PULAU SILIKON TELAH DITAMBAK SETAKAT INI, KEMAJUAN STABIL - PIC

20/08/2025 09:16 PM

GEORGE TOWN, 20 Ogos (Bernama) -- Kerja-kerja penambakan untuk Pulau Silikon telah melepasi tanda aras 80 hektar sekali gus menandakan kemajuan yang stabil bagi projek penambakan tanah terbesar di Pulau Pinang setakat ini.

Projek itu, yang meliputi keluasan 930.78 hektar, sedang dibangunkan dalam dua fasa iaitu 510 hektar di bawah Fasa 1 dan baki 420.9 hektar di bawah Fasa 2 dengan penambakan bermula September 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) Datuk Seri Farizan Darus berkata pencapaian itu merupakan tanda positif bahawa projek sedang berjalan mengikut perancangan malah ia juga bukan sekadar kemajuan fizikal.

“Projek ini direka bentuk untuk menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang Pulau Pinang dengan menggabungkan infrastruktur bertaraf dunia, amalan pembangunan mampan serta kemudahan berorientasikan komuniti.

“Ia juga akan membuka peluang baharu untuk pelaburan, inovasi dan pekerjaan di samping memastikan komuniti setempat mendapat manfaat daripada kemudahan yang lebih baik,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Bagi perkembangan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP), Farizan berkata sejumlah RM11.7 juta bayaran ex-gratia telah disalurkan kepada 791 nelayan yang layak sekali gus mengukuhkan komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan golongan itu.

Selain bantuan tunai, beliau berkata kerajaan juga telah melaksanakan skim bantuan bot dan enjin sebagai sebahagian usaha berterusan untuk menyediakan jaminan kewangan serta peralatan moden kepada nelayan tempatan bagi memastikan mereka dapat meneruskan mata pencarian dengan lebih berkesan.

“Sehingga kini, 118 daripada 295 nelayan aktif yang memiliki bot telah menerima bot dan enjin baharu, dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan hampir RM10 juta,” katanya.

  Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib bersama isterinya Toh Puan Raja Noor Ashikin Raja Abdullah melawat tapak projek bagi menyaksikan sendiri pencapaian dan mereka menyeberang ke pulau itu menggunakan jambatan besi sementara sepanjang 378 meter yang dibina di Permatang Damar Laut.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa  Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Mohamed Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Silicon Island Development Sdn Bhd (SIDSB) Datuk Szeto Wai Loong.

Ketika lawatan itu, mereka diberi taklimat mengenai kemudahan akan datang termasuk jejambat marin sepanjang 380 meter, Pan Island Link 2A (PIL2A), Medan Selera Matang dan kemudahan komuniti serta sebuah pusat latihan baharu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Pulau Silikon, yang berkeluasan 930.78 hektar, ialah projek penambakan milik Pulau Pinang yang menyaksikan buat julung kalinya, kerajaan negeri membangunkan sebuah projek tambakan secara langsung untuk menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan