Oleh Wong Cheng Hau
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 40 peratus daripada 120,000 pekerjaan dalam sektor perkhidmatan perniagaan global (GBS) di Malaysia akan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk beralih kepada perkhidmatan bernilai tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif AGOS Asia Joon Teoh berkata, apabila syarikat dan entiti bukan korporat berkembang ke peringkat antarabangsa, sektor ini membolehkan syarikat multinasional (MNC) dan organisasi lain memusatkan operasi perniagaan seperti kewangan, sumber manusia, teknologi maklumat dan perolehan.
AGOS Asia, syarikat perunding yang beribu pejabat di Malaysia membantu MNC dan perusahaan besar Malaysia menubuhkan dan memperluas operasi perkhidmatan bersama mereka dengan mereka bentuk semula proses supaya bersesuaian dengan keperluan global melalui penggunaan teknologi.
Merujuk kaji selidik global, Ketua Digital AGOS Asia Chang Te Sheng pula berkata kira-kira 40 peratus daripada peranan dalam GBS melibatkan tugasan standard dan berulang, termasuk pemprosesan invois, penyesuaian, pengambilan pekerja dan fungsi operasi korporat yang lain.
Chang berkata tugasan ini sebahagiannya telah diautomasi bergantung kepada tahap kematangan organisasi.
“Kami menyaksikan evolusi dalam sektor ini. Peranan perhubungan sedang beralih menuju peranan nilai tambah, yang diperkasakan oleh teknologi. Kita perlu mengiktiraf perubahan ini dan sumber penambahan kemahiran,” katanya kepada Bernama dalam temu bual secara maya baru-baru ini.
Chang menekankan dua kemahiran teras iaitu operasi data dan pengaturcaraan peringkat asas terutamanya dalam Python, yang disifatkan beliau sebagai penting.
“Ini adalah kemahiran sepanjang zaman yang menjadi tonggak untuk menghadapi landskap teknologi yang sentiasa berubah,” katanya.
Kepakaran fungsian lain antaranya dalam bidang kewangan, sumber manusia dan perolehan.
Beliau berkata gaji dalam sektor GBS Malaysia berkait rapat dengan kemahiran pekerja, dengan organisasi selalunya bersedia untuk membayar gaji yang lebih tinggi bagi kepakaran khusus seperti kejuruteraan data.
Sehubungan itu, gaji bulanan melebihi RM10,000 adalah perkara biasa.
Teoh pula menjangkakan MNC akan terus menubuhkan operasi GBS dengan memanfaatkan AI dan automasi terkini yang semakin berkembang.
Menurutnya walaupun AI berkembang dan digunakan secara meluas di peringkat global, ia tidak dapat menggantikan keperluan “sentuhan manusia” apabila berurusan dengan isu sensitif dari segi budaya dalam pengurusan dan penglibatan pihak berkepentingan di peringkat tempatan.
Teoh berkata sektor GBS Malaysia memberi perkhidmatan kepada pasaran Asia Pasifik yang memiliki kepelbagaian bahasa, nuansa tempatan dan peraturan dengan tahap pematuhan yang berbeza-beza.
“Lebih 20 tahun sebagai hab GBS, Malaysia menawarkan akses segera kepada rangkaian matang yang terdiri daripada pemain berpengalaman.
“Ketersediaan bakat digital dan infrastruktur meletakkan Malaysia pada kedudukan yang baik untuk MNC merintis pusat kecemerlangan digital dan AI,” katanya.
Aspek ini penting dalam saranan nilai Malaysia sebagai hab GBS yang menawarkan perkhidmatan bernilai lebih tinggi, didayakan oleh kemajuan automasi dan AI.
Menurutnya keadaan ini seterusnya membolehkan perkongsian pengetahuan dan teknologi sekali gus memberikan peluang kepada firma tempatan untuk mempelajari amalan terbaik.
Daripada perspektif yang lebih menyeluruh, aspek ini memberikan kelebihan kepada Malaysia, katanya.
Beliau berkata menurut Indeks Lokasi Perkhidmatan Global (GSLI) 2023, Malaysia telah disenaraikan sebagai lokasi perkhidmatan global ketiga paling berdaya saing di dunia selepas India dan China.
“Bagi mengekalkan kedudukan dalam penarafan global ini, Malaysia perlu melonjak dengan pantas dalam Indeks DQ (Digital Quotient) yang mengukur daya saing sesebuah hab berdasarkan tahap kematangan digital dan kesiapsiagaan untuk perkhidmatan yang dipacu digital,” katanya.
Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13, beliau berharap organisasi Malaysia akan mengguna pakai amalan terbaik dalam pengetahuan yang berfungsi dan teknologi operasi daripada rakan MNC.
Membandingkan syarikat senaraian awam (PLC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan MNC, katanya syarikat tempatan telah berjaya menubuhkan pusat perkhidmatan perkongsian bertaraf dunia, tetapi MNC mempunyai tahap autonomi yang lebih besar terhadap perkhidmatan perkongsian berpusat mereka.
“PLC dan GLC Malaysia harus mengambil peluang ini untuk mempercepat penerimagunaan digital dan AI mereka dalam proses perniagaan dan meningkatkan kemahiran bakat untuk kekal berdaya saing,” kata Teoh.
Berikutan GBS terus menjadi perbincangan utama dalam kalangan lembaga pengarah, Sidang Kemuncak Tahunan GBS AGOS Kelapan pada 11 September ini di Nexus Bangsar South akan menghimpunkan pemimpin industri dan pakar untuk membincangkan aplikasi AI agentic, analisis didayakan “copilot” dan strategi pengambilan dan pengekalan bakat.
Kira-kira 350 peserta dijangka hadir dalam program ini yang menyediakan peluang untuk pembelajaran, jaringan dan meneroka pendekatan yang inovatif dalam membangunkan dan mengurus bakat digital.
Layari www.agossummit.com atau e-mel agosgbssummit@agosasia.com untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA