KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Sektor pengguna Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh fundamental makroekonomi yang kukuh, langkah-langkah dasar dan pemacu pertumbuhan struktur, kata MBSB Investment Bank.
Bank pelaburan itu melalui satu nota penyelidikan berkata langkah-langkah di bawah Rancangan Malaysia ke-13 seperti upah minimum yang lebih tinggi, bantuan tunai dan subsidi bahan api, akan membantu mengekalkan pendapatan isi rumah.
Bersama-sama dengan pemotongan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas baru-baru ini, inisiatif-inisiatif ini dijangka akan meningkatkan pendapatan boleh guna selain menyokong kuasa perbelanjaan isi rumah.
"Ini dibantu lagi oleh keadaan pasaran buruh yang stabil, prospek inflasi yang lebih baik termasuk pemulihan yang kukuh dalam pelancongan, dengan ketibaan dari ASEAN serta China dijangka akan memacu permintaan peruncitan, makanan dan minuman.
"Daripada segi kos, kekuatan ringgit serta penjimatan dalam kos input sepatutnya akan menambah margin, meningkatkan penglihatan pendapatan," kata MBSB.
Ditambah dengan sifat sektor yang sentiasa bertahan, sektor pengguna berada dalam kedudukan yang baik sehingga mampu memberikan prestasi cemerlang dalam pasaran yang tidak menentu, katanya.
MBSB juga berkata sektor pengguna juga dijangka akan mendapat manfaat daripada penggunaan yang didorong oleh pelancongan selepas pemulihan dalam ketibaan pelancong menyediakan peningkatan struktur untuk perniagaan yang berorientasikan pengguna, terutamanya yang melibatkan item bergerak pantas, peruncitan dan barang budi bicara.
Lonjakan trafik pengunjung di lapangan terbang, pusat membeli-belah dan kawasan tumpuan pelancong dijangka akan memacu permintaan untuk minuman botol, snek dan makan kasual.
-- BERNAMA