KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia tidak merancang untuk menganjurkan semula kejohanan Formula 1 (F1) memandangkan kos yuran hak penganjuran dan penyediaan fasiliti yang tinggi serta kalendar perlumbaan yang padat.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata beberapa faktor perlu diteliti dengan lebih terperinci sekiranya kerajaan mempertimbangkan semula penganjuran kejohanan berprestij itu di negara ini.
Beliau berkata penganjuran F1 di Malaysia akan memerlukan kerajaan melabur sekitar RM300 juta setahun bagi yuran hak penganjuran kepada Liberty Media, iaitu pemegang hak komersial F1.
“Secara amnya, Malaysia perlu mengikat kontrak penganjuran selama tiga hingga lima tahun dengan Liberty Media dan ini akan melibatkan komitmen yuran hak penganjuran kejohanan F1 sekitar RM1.5 bilion untuk tempoh tersebut.
“Selain itu, kos penyediaan litar dan penganjuran acara juga perlu diambil kira. Litar Antarabangsa Sepang (SIC) masih mengekalkan penarafan homologasi litar Gred 1 ‘Federation Internationale de l’Automobile’ (FIA) dan memerlukan RM10 juta setiap tahun untuk memastikan keselamatan litar serta fasiliti sokongan menepati standard penarafan tersebut,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Hannah menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang ingin tahu sama ada Malaysia boleh menganjurkan F1 lagi dan bagaimana SIC memaksimumkan penggunaan litar itu supaya ia membawa sumbangan dan manfaat kepada negara.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Segambut itu berkata dengan kos yuran hak penganjuran RM300 juta setahun itu, kementerian dapat melaksanakan program pembangunan 20 jenis sukan yang melibatkan 363 atlet podium serta 9,834 atlet pembangunan bakat, dengan kos keseluruhan RM124.1 juta setahun.
“Dengan RM300 juta juga, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) mampu menampung beberapa kali ganda pelaksanaan program ini, iaitu bersamaan dua tahun atau empat tahun penuh pelaksanaan program pembangunan tersebut,” katanya.
Selain itu, beliau berkata peruntukan kos penyediaan litar sebanyak RM10 juta boleh menampung program Road to Gold (RTG) setahun, malah dengan jumlah sama kerajaan memperuntukkan Geran Padanan Sukan (GPS) bernilai RM30 juta setahun untuk tempoh 10 tahun.
“Inisiatif GPS ini amat penting kerana ia merangsang pertumbuhan ekonomi sukan melalui penglibatan sektor swasta dalam penganjuran acara sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Hannah juga berkata kalendar perlumbaan kejohanan F1 yang padat menyebabkan negara perlu bersaing dengan negara lain untuk merebut tempat.
“Sebagai contoh, Singapura telah menganjurkan F1 sejak 2008 dan Thailand juga bakal menjadi satu daripada destinasi perlumbaan F1 bermula 2028. Penganjuran oleh negara lain dalam rantau Asia Tenggara boleh menjejaskan pulangan penganjuran di Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia tidak menutup peluang sepenuhnya untuk F1 kembali ke negara ini jika ada pihak korporat berminat menampung keperluan bagi yuran hak penganjuran kejohanan itu.
Justeru, Hannah berkata SIC kini menumpukan semua usaha kepada penganjuran acara PETRONAS Grand Prix of Malaysia atau MotoGP yang mampu memberikan nilai dan manfaat ekonomi lebih tinggi dengan kos yuran hak penganjuran jauh lebih rendah, iaitu satu perempat berbanding yuran hak penganjuran F1.
Beliau berkata penganjuran tahunan MotoGP menarik kehadiran penonton hampir 185,000 orang, menjana nilai tambah impak ekonomi sebanyak RM329 juta pada 2024, dan mencipta 4,463 peluang pekerjaan untuk rakyat.
“SIC turut menjadi destinasi pilihan untuk penganjuran acara antarabangsa berprofil tinggi seperti Super GT, Michelin 24H Series Middle East, GT World Challenge Asia, Asia Le Mans dan acara perlumbaan tempatan seperti Malaysia Touring Car Championship, Malaysian Cub Prix serta Malaysian Superbike Championship yang terus menyemarakkan industri sukan pemotoran negara,” katanya.
-- BERNAMA