KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara bercadang mengkaji keperluan mewujudkan satu model pembiayaan baharu yang lebih lestari, iaitu penubuhan Dana Wakaf Khazanah Warisan.
Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata dana tersebut akan berfungsi sebagai tabung amanah khas bagi menyokong inisiatif pemuliharaan, pameran, penyelidikan serta pengembangan seni dan warisan negara.
“Melalui Dana Khazanah Warisan sektor korporat, badan berkepentingan, serta masyarakat umum boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan atau sokongan material,” katanya ketika merasmikan Kempen CHAGEE Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia di Muzium Negara di sini hari ini.
Beliau menjadikan Muzium Australia di Sydney sebagai contoh yang berjaya mengumpul dana lebih AUD 9 juta dengan pembahagian kos daripada Westpac Bank, Kerajaan Negeri New South Wales dan penderma utama.
Aaron berkata model perkongsian sebegitu membuktikan bahawa kolaborasi kerajaan dan korporat dapat melahirkan impak besar terhadap kelestarian institusi warisan.
“Dana Khazanah Warisan di Malaysia boleh menjadi platform strategik yang menghubungkan kerajaan, korporat dan masyarakat dalam memelihara serta memperkasa seni dan warisan negara ke peringkat dunia,” katanya.
-- BERNAMA