KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Friends of Ministry (FOM) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) hari ini mengadakan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan (Backbenchers), memberikan ruang kepada ahli parlimen untuk berkongsi pandangan tentang dasar dan isu rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata seramai 15 FOM terdiri daripada kalangan Ahli Parlimen Backbenchers telah dilantik, termasuk wakil dari bandar-bandar di Semenanjung Malaysia.
“Peranan mereka amat penting bagi memastikan dasar negara, khususnya di Wilayah Persekutuan, lebih menyeluruh, inklusif dan seimbang.
“Harapan saya agar sesi ini dapat diteruskan secara konsisten. Insya-Allah, ruang untuk mendengar, berkongsi dan berdiskusi akan sentiasa terbuka demi kesejahteraan warga kota,” katanya.
Beliau menambah lokasi pertemuan di Kuala Lumpur City Gallery, Medan Pasar, merupakan sebuah restoran yang sedang dijayakan sebagai projek ‘repurpose’ oleh JWP, antara fokus jabatan itu dalam memastikan pembangunan Kuala Lumpur mampan sambil mengekalkan warisan bandar raya.
-- BERNAMA