AM

TIMBALAN PM AUSTRALIA PUJI PERANAN MALAYSIA DALAM USAHA GENCATAN SENJATA KEMBOJA-THAILAND

21/08/2025 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia Richard Marles merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas kepimpinannya selaku Pengerusi ASEAN serta menjadi perantara rundingan gencatan senjata bagi menamatkan konflik di sempadan Kemboja-Thailand.

“Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia akan terus memainkan peranan menyelaras dan mengadakan rundingan dengan negara anggota bagi memastikan gencatan senjata ini dilaksanakan sepenuhnya.

“Ini mencerminkan komitmen teguh Malaysia terhadap kedaulatan undang-undang, hidup bersama secara aman sert akerjasama pelbagai hala dalam usaha mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan,” menurut kenyataan bersama dikeluarkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia (HLC) kelima di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Marles.

Kemboja dan Thailand bersetuju menamatkan konflik bersenjata di sepanjang kawasan sempadan mereka dalam mesyuarat khas di Putrajaya pada 28 Julai lepas.

Gencatan senjata itu dicetuskan oleh Malaysia dengan pemerhatian Amerika Syarikat dan China, yang turut menggesa supaya pertikaian sempadan diselesaikan segera demi keselamatan serantau.

Pegawai Kemboja dan Thailand menghadiri Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 7 Ogos di Kuala Lumpur, diikuti mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Serantau melibatkan pegawai atasan tentera di Wilayah Trat, Thailand pada Sabtu lepas.

Kedua-dua negara kini berusaha mencapai satu gencatan senjata yang kukuh selepas konflik yang tercetus berhubung kawasan sempadan tidak bertanda antara mereka.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan