EKONOMI

MALAYSIA TERUS MENONJOL SEBAGAI DESTINASI PILIHAN BAGI OPERASI SERANTAU PELBAGAI INDUSTRI

22/08/2025 10:33 AM

Oleh Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Malaysia terus menonjol sebagai destinasi pilihan dengan kedudukan strategiknya yang menyediakan peluang untuk menubuhkan dan mengembangkan operasi serantau bagi pelbagai sektor industri, kata sebuah firma perunding.

Pengasas Exponasia Growth Partners, Giuseppe Di Lieto berkata ini didorong oleh antara lainnya, tenaga kerja negara yang fasih pelbagai bahasa, ketersambungan serantau, infrastruktur moden dan usaha pendigitalan yang aktif.

"Justeru, ia menjadikan Malaysia menarik terutamanya kepada syarikat yang ingin meneroka dan berkembang di pasaran Asia Tenggara," katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sejak beberapa bulan kebelakangan ini firma itu melihat pendekatan "tunggu dan lihat" yang ketara, terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil sederhana (PKS) antarabangsa untuk melakukan pengembangan operasi.

Keadaan ini, katanya, berpunca daripada ketidakpastian terhadap dinamik tarif Amerika Syarikat (AS) dan memandangkan modal yang terhad serta minat risiko rendah, PKS cenderung untuk menangguhkan pengembangan mereka ketika prospek perdagangan global tidak begitu jelas.

Menurutnya, walaupun ada permintaan untuk mendapatkan maklumat dan mengadakan perbincangan tentang kebolehlaksanaan, kebanyakan syarikat kelihatannya menangguhkan dahulu hasrat mereka.

“Kini dengan situasi tarif kelihatan semakin stabil, dan tarif Malaysia telah dikurangkan kepada 19 peratus baru-baru ini, kami menjangkakan syarikat ini akan menimbang semula hasrat mereka itu," katanya.

Di Lieto berkata walaupun cabaran global masih berterusan, Asia Tenggara terus kekal sebagai keutamaan bagi pertumbuhan jangka panjang, tetapi strategi pengembangan menjadi lebih berpilih dan pragmatik.

Menurutnya, perkembangan terkini, seperti dinamik tarif AS, telah menjadikan pempelbagaian sebagai satu kepentingan strategik.

“Bagi Malaysia, ini bermakna meletakkan negara bukan hanya semata-mata sebagai lokasi kompetitif kos, tetapi sebagai hab yang stabil, mempunyai ketersambungan yang baik dan berkemampuan untuk menampung operasi serantau.

"Untuk menarik jenama global dan serantau, Malaysia perlu terus melabur dalam kemudahan menjalankan perniagaan, pembangunan bakat dan infrastruktur, selain menonjolkan peranan negara sebagai pusat kepelbagaian strategik dalam landskap global kepada komuniti perniagaan," katanya.

Beliau juga memuji pembaharuan berterusan Malaysia di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI, daripada dasar terkini perindustrian hinggalah kepada inisiatif pendigitalan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kerana ia menunjukkan hasrat serius kerajaan untuk meningkatkan daya saing negara.

“Pada masa yang sama, pendirian proaktif kerajaan terhadap diplomasi serantau, termasuk kepimpinan Malaysia baru-baru ini yang menjadi perantara dalam gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, telah mengukuhkan lagi kedudukan negara di peringkat serantau.

"Diplomasi berfokuskan kestabilan seumpama ini meningkatkan kredibiliti Malaysia di mata pelabur global yang inginkan penglibatan yang stabil, berkecuali dan membina di ASEAN.  Bagi perniagaan yang ingin mengembangkan operasi, Malaysia menawarkan gabungan peluang, keupayaan dan ketersambungan yang sesuai di seluruh rantau Asia Tenggara," katanya.

Mengulas mengenai RMK13, Di Lieto percaya bahawa Malaysia perlu memberi tumpuan kepada dua keutamaan iaitu menarik kembali bakat berintensif pengetahuan dan membantu PKS berkembang melangkaui pasaran berdekatan.

Beliau berkata bakat terbaik di luar negara tidak akan kembali untuk pendapatan sahaja; mereka akan kembali untuk mendapatkan peluang.

Ini bermakna perlu ada ekosistem majikan yang boleh diyakini dan berorientasikan pertumbuhan, yang menawarkan bukan sahaja pekerjaan, tetapi cabaran profesional, persekitaran antarabangsa dan peluang kerjaya bagi tempoh jangka panjang.

"Untuk mewujudkannya, Malaysia memerlukan perancangan PKS yang lebih mantap bagi memastikan mereka berkembang sebagai jaguh serantau. Syarikat-syarikat ini mencipta peranan, persekitaran dan laluan kerjaya yang dicari oleh profesional berkaliber tinggi.

“Dan turut sama pentingnya, sektor PKS yang bercita-cita tinggi dan berorientasikan global dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai papan loncatan untuk syarikat yang ingin berkembang ke Asia Tenggara,” katanya.

Di Lieto berkata inisiatif seperti Rangka Kerja ESG Industri untuk PKS dan sokongan bersasar di bawah Belanjawan 2025 merupakan petanda positif bahawa Malaysia sedang berada di laluan yang tepat.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya impaknya, usaha ini boleh diperkukuh lagi dengan akses yang diperluaskan kepada pembiayaan, sokongan nasihat eksport yang disesuaikan dan pelaburan berterusan dalam peningkatan kemahiran digital.

“Semakin banyak kejayaan yang dicapai syarikat tempatan, Malaysia menjadi semakin menarik, bukan sahaja kepada pelabur asing tetapi juga untuk rakyat Malaysia di luar negara yang bersedia untuk pulang dan menyumbang kepada tanah air,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan