Daripada Farah Najihah Zuraimi
JAKARTA, 22 Ogos (Bernama) -- Detik penuh bermakna tercipta di Pusat Pelatihan Olahraga Pelajar (PPOP) Ragunan, Jakarta Selatan apabila atlet olahraga negara, Azlan Kuste menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025, di sini hari ini.
Lebih manis, emas itu hadir menerusi acara kegemarannya, 800 meter lelaki, sekali gus mengekalkan status juara bertahan selepas menawan edisi sulung Kuala Lumpur 2022 dengan catatan 2 minit 03.97 saat (s).
Kejayaan itu turut digandakan dengan kehadiran rakan sepasukan, Aidil A. Asyraf Juakim yang menghadiahkan pingat perak buat Malaysia selepas mencatatkan 2:05.21s manakala wakil Brunei, Md Amiruddin Md Zain meraih gangsa (2.12.20s).
Sorakan semangat kontinjen negara yang berdiri di tepi balapan seakan-akan mengiringi setiap langkah Azlan dan Aidil A. Asyraf menuju ke garisan penamat sebelum mereka mengangkat tangan tinggi tanda kemenangan sebagai simbol permulaan indah buat perjuangan Malaysia di bumi Indonesia.
Edisi kedua SEA Pekak berlangsung hingga 26 Ogos.
-- BERNAMA