DUNIA

BURSA MALAYSIA TINGGI PADA TENGAH HARI

22/08/2025 01:41 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini, didorong oleh belian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh kaunter produk perindustrian dan perkhidmatan serta perkhidmatan kewangan dalam sentimen berhati-hati di pasaran serantau, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.07 mata kepada 1,597.94 daripada 1,592.87 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.93 mata kepada 1,593.80 dan bergerak antara 1,593.42 dan  1,603.19 sepanjang sesi dagangan.

Pasaran secara menyeluruh positif dengan 451 kaunter untung mengatasi 392 kaunter rugi manakala 475 kaunter tidak berubah, 1,276 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.58 bilion unit bernilai RM1.22 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk pasaran tempatan dijangka berada antara 1,590 dan 1,600 hari ini.

“Wall Street ditutup rendah berikutan peniaga menantikan kenyataan Rizab Persekutuan mengenai kadar faedah yang akan diumumkan hari ini. Peniaga kekal tidak memasuki pasaran menjelang ucapan Jerome Powell untuk menilai kemungkinan penurunan kadar faedah yang banyak diperkatakan pada September.

“Dalam negara, FBM KLCI sekali lagi menolak jangkaan apabila indeks ditutup melebihi paras 1,590 walaupun berada di bawah paras tertinggi harian. Kami gembira dengan sokongan kukuh daripada dana tempatan setakat ini, yang menjadi peneraju dalam bursa tempatan,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 7.0 sen kepada RM9.85, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.46, IHH Healthcare meningkat 4.0 sen kepada RM6.85 manakala CIMB mendatar pada RM7.45 dan Tenaga Nasional merosot 2.0 sen kepada RM13.62.

Bagi kaunter paling aktif, TWL Holdings dan SFP Tech, masing-masing naik setengah sen kepada 3.0 sen dan 16 sen, Zetrix AI meningkat 1.0 sen kepada 88.5 sen manakala Tanco merosot setengah sen kepada 73.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 34.58 mata kepada 11,835.49, Indeks FBMT 100 menambah 32.02 mata kepada 11,614.45 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 40.31 mata kepada 11,758.24.

Indeks FBM Mid 70 naik 24.40 mata kepada 16,560.62 dan Indeks FBM ACE meningkat 21.53 mata kepada 4,729.86.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 60.51 mata kepada 18,244.66, Indeks Perladangan meningkat 7.98 mata kepada 7,614.50 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.52 mata kepada 165.19.

Indeks Tenaga, bagaimanapun, merosot 1.10 mata kepada 749.63.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan