KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kursus Mendepani Media anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (MTVET) Negara berjaya membina keyakinan diri pegawai kerajaan untuk tampil sebagai jurucakap berkredibiliti.
Kursus dua hari yang bermula Rabu lepas disertai kira-kira 20 pegawai daripada pelbagai agensi antaranya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Kementerian Perladangan dan Komoditi; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Pendidikan.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan teknik perhubungan media serta menjalani simulasi media yang dikendalikan Pengurus Saluran dan Kandungan Bernama TV Wan Syahrina Wan Ab Rahman dan hos Bernama TV Ally Iskandar Mohd Mardzi.
Bagi Ketua Penolong Pengarah MITI Dr Wong Wai Khuen kursus tersebut merupakan peluang berharga buat peserta, dengan kandungan yang menarik dan relevan.
"Ini pertama kali saya menyertai latihan seumpama ini kerana biasanya hanya melibatkan Unit Komunikasi Korporat. Kursus ini sangat membantu terutamanya dari aspek latihan sebagai jurucakap," katanya pada hari terakhir kursus semalam yang diadakan di Pusat Kecemerlangan Bernama di Wisma Bernama di sini.
Wong yang berkhidmat selama 10 tahun di Kementerian Kesihatan sebelum menyertai MITI berkata kursus itu membuka ruang baharu untuk kementeriannya menilai cara penyampaian mesej kepada masyarakat, khususnya mengenai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Kebiasaannya, komunikasi MITI lebih tertumpu kepada pihak industri selaku pemegang taruh utama. Kini saya bersedia memperdalam pengetahuan menerusi kursus ini, terutamanya aspek pengurusan krisis sebagai jurucakap kementerian," katanya.
Beliau menganggap kursus tersebut sebagai langkah awal memperkukuh keupayaan komunikasi strategik kementerian, khususnya dalam menangani isu semasa dan menyampaikan dasar kepada orang awam serta pihak berkepentingan secara berkesan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Elektrik, Komputer dan Pencetakan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kuala Lumpur M. Ganeson mengakui sebelum menyertai kursus tersebut, beliau tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai penyampaian mesej melalui media arus perdana secara strategik.
Beliau yang aktif menyertai program dalam bahasa Tamil menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro dan platform media lain berkata kursus ini membuka pandangan tentang kepentingan menyesuaikan gaya penyampaian agar tidak terlalu formal tetapi tetap berinformasi dan menarik bagi khalayak.
"Apabila saya datang ke sini barulah tahu banyak perkara seperti teknik framing, bagaimana cerita yang diberitahu tidak disiarkan 100 peratus kerana melalui proses penapisan, dan cara bercakap di media supaya mesej sampai dengan berkesan," katanya.
Sementara itu, Wan Syahrina berkata Kursus Mendepani Media merupakan inisiatif penting memperkasa keupayaan jurucakap agensi kerajaan, khususnya dalam menghadapi cabaran komunikasi era digital dan keperluan menyampaikan dasar secara berkesan kepada masyarakat.
Beliau berkata kursus itu dirangka dengan modul khusus membantu peserta memahami cara kerja media, termasuk proses bagaimana berita disusun dan disiarkan di pelbagai platform seperti surat khabar, televisyen, radio dan media sosial.
Sepanjang kursus, peserta bukan sahaja mempelajari teknik komunikasi dengan wartawan malah didedahkan kepada kemahiran menyampaikan maklumat teknikal dengan gaya yang mudah difahami khalayak.
"Menyampaikan fakta kepada media memerlukan kemahiran berbeza daripada sekadar mengetahui kandungan dasar. Ia memerlukan pendekatan komunikasi yang strategik.
"Latihan turut merangkumi simulasi temu bual media iaitu peserta diberi peluang menjadi jurucakap atau guest speaker, menjawab soalan seolah-olah berdepan wartawan sebenar," katanya.
-- BERNAMA