NILAI, 22 Ogos (Bernama) -- Keenakan daging salai masak lemak cili api, sate tulang dan apam balik Seri Menanti menjadi antara tarikan utama pengunjung di gerai Selera Nogori sempena Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Sembilan yang bermula hari ini di Dataran Nilai.
Selain menggamit selera pengunjung, jualan pelbagai hidangan tradisional itu turut membuka ruang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk makanan mereka kepada ribuan orang ramai.
Ridzuan Mohd Yusof, 40, pengusaha restoran Durich Sate Tulang Jelebu, berkata gerainya mula dikunjungi sejak 9 pagi oleh pengunjung dan petugas program yang ingin mencuba keistimewaan sate tulang.
“Penyertaan usahawan dalam PMR Negeri Sembilan peluang terbaik untuk memperkenalkan produk tradisi Jelebu, khususnya kepada generasi muda yang mungkin belum pernah merasainya.
“Selain sate daging lembu dan kambing premium, kami juga menawarkan sate tulang dengan rasa berbeza. Harga jualan sate antara RM2 hingga RM5,” katanya.
“Sasaran jualan hari ini sehingga 2,000 cucuk sate, tetapi sambutan amat mengalakkan sejak pagi menyebabkan saya akan menambah bekalan bagi jualan hujung minggu kerana menjangkakan kehadiran lebih ramai pengunjung,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, peniaga Tok Salai Nilai, Muzaimah Mohd, 32, berkata PMR Negeri Sembilan membuka peluang kepada usahawan tempatan mendekati pelanggan baharu, termasuk dari negeri berdekatan seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
“Program seperti ini sangat membantu usahawan kecil memperluas jaringan pelanggan dan memperkenalkan jenama. Ini juga peluang terbaik untuk mempromosikan gerai saya di pekan Nilai yang baru beroperasi lapan bulan,” katanya.
Beliau menjual set nasi bersama pelbagai lauk salai seperti daging, itik dan perut lembu, selain menu sarapan pagi seperti lempeng, dengan harga antara RM5 hingga RM17 bermula 7.30 pagi hingga 10 malam.
Tidak ketinggalan, Amir Rizwan Roslan, 39, menarik perhatian dengan apam balik Seri Menanti pelbagai perisa seperti red velvet, teh hijau, oreo dan biscoff, berharga RM20 sekotak, manakala empat keping apam balik original berharga RM5.
Amir Rizwan turut memanfaatkan platform itu untuk mencari usahawan yang berminat memulakan perniagaan bersamanya melalui konsep francais.
Program anjuran kerajaan itu bertujuan memperkasakan ekonomi rakyat dengan menyediakan platform kepada peniaga kecil dan sederhana mempamer produk tempatan serta meningkatkan keterlibatan komuniti dalam agenda pembangunan negeri secara inklusif.
PMR Negeri Sembilan berlangsung tiga hari dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan program itu esok.
-- BERNAMA