PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) berjaya menarik sumbangan penajaan melebihi RM22 juta daripada 113 rakan strategik, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata jumlah itu merangkumi RM1.9 juta dalam bentuk wang tunai manakala RM20.24 juta lagi adalah sumbangan barangan dan perkhidmatan.
“Alhamdulillah, peningkatan ini hampir lima kali ganda berbanding tahun lalu. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakan penaja atas komitmen mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik HKHM 2025 di Menara Komunikasi di sini hari ini .
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Nik Kamaruzaman Nik Husin serta barisan rakan strategik dan penaja.
Fahmi berkata semua sumbangan tunai disalurkan ke Akaun Amanah Sekretariat Merdeka untuk perbelanjaan persiapan sambutan manakala barangan akan diagih kepada orang ramai yang menghadiri acara di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos dan di Dewan PICCA, Butterworth pada 16 Sept ini.
Beliau turut mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan HKHM 2025 sebagai projek berkepentingan nasional di bawah subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Dengan kelulusan ini, semua penyumbang untuk Sambutan HKHM 2025 layak menuntut potongan bagi maksud pengiraan cukai pendapatan yang berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025 hingga 16 Sept ini dengan had sebanyak RM20 juta.
“Selain pelepasan cukai bagi sumbangan tunai, individu dan syarikat yang memberi sumbangan in-kind juga boleh membuat tuntutan potongan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat pada tahun taksiran semasa,” katanya.
Fahmi berkata tema sambutan tahun ini ialah 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni', mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh pembangunan negara berasaskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan.
Beliau berkata kerjasama erat sektor awam dan swasta dalam menjayakan HKHM 2025 amat diharapkan termasuk melalui kempen Kibar Jalur Gemilang, Kempen Jualan Merdeka, acara perarakan dan publisiti media.
“Semoga kerjasama strategik yang kukuh ini berterusan demi kemakmuran negara tercinta,” katanya.
-- BERNAMA