DUNIA

NIAGA HADAPAN EMAS DIJANGKA DINIAGAKAN TINGGI MINGGU DEPAN

23/08/2025 10:25 AM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan selepas Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell memberi petunjuk mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah pada September.

Kenyataan Powell pada Simposium Dasar Ekonomi Jackson Hole semalam membayangkan mengenai penurunan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 16 hingga 17 September, yang seterusnya meningkatkan nilai aset selamat.

Sementara itu, peserta pasaran akan memantau data indeks keyakinan pengguna Lembaga Persidangan AS, yang mengukur tahap keyakinan pengguna terhadap aktiviti ekonomi dan indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE), yang mencatat kadar inflasi atau deflasi dalam pelbagai perbelanjaan pengguna.

Pada asas mingguan, kontrak niaga hadapan emas bulan semasa Ogos 2025 merosot kepada US$3,327.30 setiap auns troy pada Jumaat daripada US$3,344.10 seminggu sebelumnya, kontrak September 2025 turun kepada US$3,332.70 setiap auns troy daripada US$3,349.50 sebelumnya.

Oktober 2025 berkurangan kepada US$3,362.20 setiap auns troy daripada US$3,378.90 dan November 2025 susut kepada US$3,379.00 setiap auns troy daripada US$3,395.70.

Sementara itu, kontrak Disember 2025, Februari 2026 dan April 2026 ditutup rendah kepada US$3,399.40 setiap auns troy berbanding US$3,415.20 sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 53 lot daripada 98 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 56 kontrak daripada 38 kontrak.

Harga emas fizikal berada pada US$3,338.30 setiap auns troy mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 21 Ogos. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan