GUA MUSANG, 23 Ogos (Bernama) -- Kempen mengibarkan Jalur Gemilang bukan sahaja mampu menyemarakkan semangat patriotik, malah menjadi wadah yang dapat mengeratkan rakyat dari serata pelosok negara termasuk di pedalaman.
Itulah yang dirasai lebih 5,000 penduduk Orang Asli di empat penempatan di sini apabila disantuni peserta Konvoi Kembara Merdeka Be Ades Ma Kampung yang merentas laluan mencabar demi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, termasuk mengagihkan lebih 2,000 Jalur Gemilang kepada komuniti itu.
Konvoi berkenaan melibatkan 120 peserta pelbagai agensi antaranya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Yayasan Kebajikan Asnaf Malaysia.
Peserta yang juga penjawat awam Wan Nazira Wan Nawi, 49, berkata kembara sejauh 200 kilometer selama empat hari tiga malam bermula Rabu itu amat bermakna kerana memberi peluang bertentang mata dan menyantuni masyarakat di pedalaman.
“Kami melakukan aktiviti nyanyian lagu patriotik, persembahan dan pengagihan Jalur Gemilang kepada penduduk di Pos Balar, Pos Hau, Pos Belatim dan Pos Bihai. Semangat mereka amat tinggi kerana sebaik sahaja melihat Jalur Gemilang bakal diagihkan, mereka terus meluru untuk mendapatkannya,” katanya kepada pemberita di Pos Bihai.
Seorang lagi peserta, Hamzi Ab Rahman, 40, berkata pelbagai cabaran ditempuhi rombongan termasuk jalan licin, berbatu, berlumpur serta berlurah, ditambah dengan hujan berterusan hingga ke malam.
“Keadaan jalan yang teruk mengakibatkan beberapa kenderaan tersangkut dan ketika itulah semangat setia kawan serta bekerjasama diperlukan untuk mengeluarkan kenderaan terbabit.
"Walaupun ketibaan kami di beberapa lokasi agak lewat, masyarakat setempat tetap menunggu dengan penuh semangat sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu patriotik,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata inisiatif itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, malah mengukuhkan hubungan erat dengan masyarakat Orang Asli.
“Konvoi membawa Jalur Gemilang ke kawasan terbabit melibatkan 30 buah kenderaan pacuan empat roda,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Kampung Tendrik, Alang Segan berkata program berkenaan menyalakan lagi semangat cinta negara dalam kalangan Orang Asli, khususnya generasi muda.
“Apabila masyarakat pedalaman turut dilibatkan, ia menjadikan kami semakin menghargai keharmonian di negara ini.
"Terima kasih kepada semua yang berusaha membantu kami merasai kemeriahan Hari Kebangsaan walaupun berada jauh di pedalaman,” katanya.
-- BERNAMA