KUANTAN, 23 Ogos (Bernama) -- Dua pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam insiden kemalangan pesawat pejuang F/A-18D Hornet di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan baik.
Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor senjata pesawat Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28, masih menerima rawatan dan pemantauan di Rumah Sakit Angkatan Tentera.
“Kebiasaannya akan dipantau untuk tiga hari sebagai kepastian. Pada pandangan saya, kedua-duanya dalam keadaan okay,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Muhamad Norazlan berkata pemantauan berkenaan merupakan amalan biasa bagi anggota yang menerima rawatan di kemudahan perubatan tentera.
Dalam insiden 9.05 malam Khamis, Mohamad Izzuddin dan Mohamad Azhar sempat melaksanakan prosedur kecemasan dengan selamat, iaitu keluar menggunakan kerusi lontar (eject) sebelum pesawat itu terhempas.
Insiden itu berlaku ketika pesawat berkenaan sedang melakukan rutin latihan penerbangan malam.
-- BERNAMA