JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TERIMA EMPAT LAPORAN KEMATIAN LIBATKAN PESERTA PROGRAM RXZ MEMBERS 7.0

23/08/2025 10:19 PM

KUALA NERUS, 23 Ogos (Bernama) -- Sebanyak empat kes kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan peserta Program RXZ Members 7.0 2025 direkodkan, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Sehubungan itu, beliau menasihati para peserta supaya lebih berhati-hati ketika dalam perjalanan pulang, yang dijangka bermula malam ini hingga esok.

Beliau berkata semua peserta diingatkan supaya tidak melakukan aksi berbahaya termasuk ‘Superman’ yang boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.

"Jadi, saya nasihatkan mereka supaya bergerak secara berkumpulan kerana lebih selamat... jika penat atau mengantuk, berhenti di kawasan rehat dan rawat bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya selepas Majlis Perasmian Program RXZ Members 7.0 2025 di Litar Permotoran Gong Badak di sini hari ini. 

Mohd Yusri juga berkata meskipun Polis Diraja Malaysia melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal namun pendekatan yang diambil lebih kepada mendidik serta memudah cara urusan peserta.

"Fokus kita kali ini adalah mendidik serta membantu kelancaran program... walaupun ada pemantauan dan kawalan, ia lebih kepada nasihat dan memudah cara," katanya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin pula berkata tiada sebarang saman dikeluarkan terhadap peserta RXZ Members 7.0 2025.

Beliau juga berkata tiada aduan rasmi diterima daripada orang awam berkaitan disiplin atau salah laku penunggang motosikal terbabit.

"Penyertaan tahun ini lebih ramai berbanding tahun lepas tetapi setakat ini, kita tidak terima sebarang aduan mengenai ketidakselesaan atau salah laku peserta program," katanya.  

 -- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan