TAIPING, 24 Ogos (Bernama) -- Kampung Temerlok, Trong di sini menerima nafas baharu melalui inisiatif Kampung Angkat MADANI (KAM), menerusi empat projek pembangunan dan naik taraf.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata empat projek pembangunan dipilih untuk dilaksanakan melalui inisiatif berkenaan dengan peruntukan RM1 juta.
“Projek tersebut ialah naik taraf Jeti Nelayan Sungai Tok Lin dengan kos hampir RM350,000, baik pulih Sekolah Agama Rakyat Al-Mahmudiah bernilai hampir RM170,000 dan naik taraf Pusat Pemindahan Banjir SK Temerlok bernilai hampir RM330,000, sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.
“Projek keempat ialah pembaikan Masjid Al-Mahmudiah bernilai hampir RM150,000, meliputi kerja mengecat, membaiki bumbung, pemasangan jubin serta pagar kubur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata semua projek tersebut adalah bukti jelas bahawa denyut nadi rakyat luar bandar sentiasa dekat di hati kepimpinan negara.
Beliau berkata ia juga menzahirkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk memastikan kesejahteraan rakyat pada peringkat akar umbi.
“Pendekatan ini bukan sekadar janji, tetapi tindakan yang nyata dan memberi impak terus kepada kehidupan rakyat.
“Seperti yang sering ditegaskan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tiada komuniti akan dipinggirkan daripada arus pembangunan,” katanya.
Program Kampung Angkat MADANI yang diperkenalkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 ialah satu inisiatif bertujuan merapatkan jurang antara desa dan bandar dengan melengkapkan kemudahan asas air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian Internet.
-- BERNAMA