AM

PMR N SEMBILAN: 300 PENGUNJUNG REBUT PELUANG GUNTING RAMBUT PERCUMA

24/08/2025 03:33 PM

NILAI, 24 Ogos (Bernama) -- Hampir 300 pengunjung tidak melepaskan peluang  mendapatkan perkhidmatan gunting rambut percuma anjuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sepanjang Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai.

Pengarah RELA Negeri Sembilan Senin Sadie berkata sebanyak 20 petugas termasuk empat tukang gunting terdiri daripada ahli RELA memulakan tugas pada 9 pagi hingga 5 petang sejak Jumaat lepas, dan akan berakhir hari ini.

"Pada hari pertama kami terima 80 orang sahaja namun pada hari kedua ia bertambah kepada 120 dan pada hari terakhir ini hampir 100 pengunjung telah berdaftar sementara menunggu giliran," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pengunjung Murniza Semail, 45, berkata dia datang ke PMR di sini untuk membawa dua anaknya mendapatkan perkhidmatan gunting rambut percuma.

Ibu kepada sembilan anak itu berkata dia dapat melakukan penjimatan hingga RM22 bagi dua orang memandangkan kos gunting rambut di luar agak mahal.

"Biasanya jika gunting di luar harga antara RM10 hingga RM11 dan jika ada program seperti ini sangat digalakkan, dapatlah membantu mengurangkan beban kami," katanya.

Muhammad Fatah Irsyad Mohd Salzly, 9, berkata dia teruja menggunting rambut pada hari ini sekali gus menyuntik semangat untuk ke sekolah dengan gaya rambut baharu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan