AM

FAN BINGBING BERI BAYANGAN BAKAL KEMBALI KE MELAKA SEPTEMBER INI

24/08/2025 07:05 PM

MELAKA, 24 Ogos (Bernama) -- Bintang filem antarabangsa Fan Bingbing memberi bayangan bahawa beliau akan kembali ke Melaka bulan depan untuk melakukan ‘kerja baharu’.

“Saya juga berharap dapat membawa lebih banyak cerita yang baik untuk Melaka,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Seri Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di sini hari ini.

Pada tahun lepas, Fan dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka dan kehadirannya selama tiga hari pada Jun 2024 berjaya melonjakkan sektor pelancongan negeri apabila terdapat 1.2 bilion carian mengenai dirinya dan Melaka.

Fan, yang mempunyai kira-kira 63 juta pengikut di Weibo (platform media sosial di China mirip X) dan 4.1 juta pengikut Instagram, lazimnya ditonjolkan sebagai wajah kebudayaan China di peringkat global.  

Selain filem China, beliau juga pernah membintangi filem adiwira Hollywood, 'X-Men: Days of Future Past', selain filem Perancis dan Korea.

Pada 2017, Fan menghiasi kulit majalah Time dan beliau turut dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan