SUKAN

THAILAND DOMINASI KEJOHANAN LIGA PAPAN SELAJU ASEAN

24/08/2025 11:47 PM

KEPALA BATAS, 24 Ogos (Bernama) -- Thailand mengungguli Kejohanan Liga Papan Selaju ASEAN (STA) yang berlangsung empat hari di Pokok Sena Skatepark di sini, dengan perlawanan akhir tamat pada malam ini.

Atlet Thailand menyapu bersih kedudukan tiga teratas apabila Attapon Sampaokong muncul juara kategori Men's Street selepas mengumpul 17.22 mata, diikuti Kirin Petkiree,11, di tempat kedua dengan kurang hanya 0.2 mata sahaja dan Chayakorn Wongwatanasopon, 25, di tempat ketiga yang mengutip 16.86 mata.

Kategori Women's Street juga menyaksikan penguasaan Thailand apabila Chakao Unomphea, 10, meraih 14.01 mata untuk menjuarai kategori itu, manakala Vareeraya Sukasem, 14, di tempat kedua (11.37 mata)   dan atlet Indonesia Quinara Ayra Darmawan, 12, di tempat ketiga (11.10 mata).

Attapon atau lebih dikenali sebagai Cube, 21, ternyata gembira dengan kemenangan itu kerana sebelum ini tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan ramai atlet berbakat dari Asia Tenggara turut bertanding.

"Kejohanan itu amat penting untuk saya membaiki kelemahan dan meningkatkan kekuatan serta melihat kemampuan pencabar lain bagi menghadapi Sukan SEA di Thailand pada Disember tahun ini,” katanya kepada Bernama selepas kejohanan itu. 

Sementara itu, atlet negara Nur Tia Adelisa Tajul Fuad atau lebih dikenali sebagai Chicha, turut mencuri tumpuan apabila meraih tempat kedua dalam kategori Women’s Park selepas mengutip 4.73 mata.

Chicha, 10, yang menampilkan aksi meyakinkan berkata kejohanan itu memberikan peluang untuk mempelajari teknik dan kemahiran baharu daripada pemain dari negara serantau. 

"Saya juga akan menyertai beberapa kejohanan antarabangsa lain bagi meneruskan karier dalam papan selaju," katanya yang mula menceburi sukan itu sejak berusia tiga tahun.

Kategori berkenaan dimenangi oleh atlet Singapura Tina Wan Yj yang mengumpul 5.07 mata, manakala seorang lagi atlet negara Adelia Haziqah Amirul Hisyam, 12, menduduki tempat ketiga dengan 3.61 mata.

Edisi sulung STA itu telah menarik penyertaan 74 atlet termasuk 32 peluncur dari Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Kemboja bersama 42 peluncur Malaysia.

Empat kategori utama dipertandingkan, iaitu Men’s Street, Women’s Street, Men’s Park dan Women’s Park.

Format kejohanan itu menggunakan sistem ASEAN Representation System yang menjamin setiap negara mempunyai wakil dalam setiap pusingan sekali gus memberi peluang sama rata dan menyerlahkan kepelbagaian gaya papan selaju ASEAN.

Format berkenaan turut digunakan dalam temasya sukan antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan