PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Bioeconomy Corporation Sdn Bhd menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 1,000 individu dalam tempoh lima tahun menerusi Program Kerjaya Dan Keusahawanan Bioagrotek & BioFarmaseutikal 2.0 (BeST 2.0), selaras dengan usaha melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang bioteknologi dan teknologi baharu.
Pengerusinya Datuk Dr Lee Boon Chye berkata sasaran itu boleh ditingkatkan lagi dengan peruntukan yang mencukupi berikutan permintaan daripada individu dan industri semakin tinggi.
“Melalui BeST 2.0, peserta dapat latihan dan penempatan di syarikat bioteknologi, malah ada yang berjaya memulakan syarikat pemula niaga. Produktiviti negara hanya boleh ditingkatkan apabila kita mempunyai tenaga kerja yang lebih mahir,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata program itu juga akan diperluas kepada subsektor teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) serta teknologi tenaga hijau bagi membuka peluang yang lebih luas kepada graduan.
“Dalam sektor baharu ini, khususnya AI, AR dan VR, terdapat bidang aplikasi yang besar pada masa hadapan.
“Sebagai contoh, AI boleh digunakan dalam pertanian dan kesihatan, manakala AR serta VR banyak digunakan dalam latihan dan pembedahan kesihatan. Ini ruang Bioeconomy Corporation boleh bantu dari segi membangunkan tenaga mahir dan pakar,” katanya.
Sejak dilancarkan pada 2021, BeST 2.0 telah melatih 561 siswazah, melepasi sasaran asal 400 siswazah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Daripada jumlah itu, 91 peratus mendapat penempatan kerja di 92 syarikat bioteknologi dan berasaskan bio, manakala lebih 200 syarikat telah berdaftar sebagai hos dengan menawarkan 1,900 peluang pekerjaan.
“Antara contoh kejayaan, ada sembilan syarikat pemula niaga yang terlibat dalam pertanian kontrak. Jika diperluas, ini boleh membantu meningkatkan pendapatan kawasan desa melalui penggunaan teknologi moden,” katanya.
Lee berkata setakat ini, sebanyak 624 syarikat berstatus BioNexus, Bio-Based Accelerator (BBA) dan syarikat berimpak tinggi di seluruh Malaysia telah mencatatkan pelaburan yang diluluskan melebihi RM14 bilion, serta menyumbang RM39 bilion kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK).
BBA adalah sebuah program pemecut di bawah Bioeconomy Corporation yang memberi tumpuan kepada syarikat pemula berasaskan bio.
Ia diwujudkan untuk membantu syarikat baharu meningkatkan daya saing, mengukuhkan inovasi dan memperluas rantaian nilai dalam industri bioteknologi dan bio.
Di bawah Dasar Bioteknologi Negara (NBP) 2.0, kerajaan turut menyasarkan sumbangan hingga lima peratus KDNK daripada sektor itu dalam jangka sederhana.
Ditubuhkan pada 2005, Bioeconomy Corporation adalah agensi pembangunan ekonomi utama bagi industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia, di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
-- BERNAMA