AM

ALZAFNY KETUA POLIS NEGERI SEMBILAN BAHARU

25/08/2025 05:01 PM

SEREMBAN, 25 Ogos (Bernama) -- Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur Datuk Alzafny Ahmad dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Alzafny, 49, menggantikan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof yang bertukar ke Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran).

Bercakap kepada pemberita, Alzafny berazam akan memikul tanggungjawab baharu itu sebaik mungkin sekali gus memastikan segala hala tuju, visi dan misi Polis Diraja Malaysia tercapai dengan kerjasama seluruh pasukan.

“Tumpuan pertama saya adalah untuk bersama dengan semua agensi yang ada di Negeri Sembilan dan masyarakat selain bergerak setara dengan kecanggihan teknologi kini untuk memperkukuh gerak kerja selain memfokuskan integriti pegawai dan anggota termasuk kebajikan mereka.

“Kita tidak bergerak secara silo, jadi keperluan semua agensi adalah satu keutamaan untuk memastikan setiap perkara atau isu yang berlaku dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Negeri Sembilan yang disaksikan  Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Rusdi Mohd Isa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rusdi yakin dengan pengetahuan luas dan komitmen tinggi, Alzafny mampu membawa pembaharuan dan idea bagi melonjakkan lagi kecemerlangan IPK Negeri Sembilan selain memastikan semua inisiatif dirancang dapat dijayakan.  

“Setinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada Ahmad Dzaffir atas jasa, bakti dan sumbangan serta kecemerlangan kepimpinan beliau sepanjang hampir tiga tahun berkhidmat di Negeri Sembilan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan