JENAYAH & MAHKAMAH

PEMANDU JENGKAUT MAUT TERTIMBUS TANAH DI SIMPANG PULAI

25/08/2025 05:50 PM

IPOH, 25 Ogos (Bernama) -- Seorang pemandu jengkaut maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika melakukan kerja pengorekan lereng bukit di Simpang Pulai dekat sini hari ini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian menimpa lelaki berusia 60 tahun itu pada 1.52 tengah hari. 

“Anggota bomba yang tiba di lokasi pada 2.07 petang mendapati mangsa tersepit dalam ruangan pemandu jengkaut selepas sebahagian tanah runtuh yang mengakibatkan mangsa tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya.

“Bantuan jengkaut yang lain digunakan bagi mengalihkan timbunan tanah sebelum mangsa berjaya dibawa keluar dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut serta operasi tamat pada 3.20 petang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan