AM

PENGHARGAAN KENDIRI IBU PENGARUHI SIKAP ANAK-ANAK TERHADAP PENDIDIKAN - PAKAR

27/08/2025 10:36 AM

IPOH, 27 Ogos (Bernama) -- Penghargaan kendiri ibu didapati mempengaruhi sikap anak-anak terhadap pendidikan, kata Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Aziah Ismail.

Aziah berkata ini kerana seorang ibu dengan penghargaan kendiri yang tinggi bukan sahaja mempunyai keyakinan dalam diri sendiri tetapi juga mampu mempengaruhi perkembangan psikologi anak-anak.

“Ia termasuk dalam membentuk minat dan motivasi mereka untuk berjaya dalam kehidupan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan kajian bertajuk 'Pengaruh Kepimpinan Ibu Terhadap Motivasi Belajar Anak-anak di Perak: Penghargaan Kendiri Ibu Sebagai Mediator' di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Meru Raya di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed.

Aziah berkata seorang ibu yang yakin dengan keupayaan dan menghargai dirinya sendiri akan memberi contoh positif kepada anak-anak bahawa kejayaan bermula dengan keyakinan dan usaha.

Beliau berkata ibu yang mempunyai penghargaan kendiri yang baik juga lebih cenderung untuk mengiktiraf dan menyokong minat anak-anak mereka tanpa rasa ragu atau membandingkan dengan orang Iain.

"Ibu dengan penghargaan kendiri yang positif cenderung untuk membimbing anak-anak dalam menetapkan matlamat hidup yang realistik dan bermakna.

"Motivasi anak-anak untuk berjaya sering dipengaruhi oleh bagaimana ibu mereka memberi sokongan emosi dan mental, ibu yang percaya kepada diri sendiri lebih mudah untuk menyampaikan keyakinan kepada anak-anak mereka," katanya.

Dalam pada itu, Aziah berkata motivasi akademik ibu bapa kepada anak merupakan antara indikator penting sesebuah pembangunan keluarga.

Beliau berkata ia melibatkan dorongan dalaman dan luaran untuk anak-anak ke sekolah dengan sikap positif serta melihat pendidikan sebagai suatu peluang untuk perkembangan diri dan masa depan mereka.

"Anak yang mempunyai motivasi akademik tinggi akan melihat sekolah sebagai tempat yang menarik dan bermanfaat. Mereka hadir ke sekolah dengan keinginan untuk belajar dan meningkatkan kemahiran.

"Sekolah bukan sekadar tempat untuk mendapatkan ilmu tetapi juga berfungsi sebagai ruang sosial dan perkembangan peribadi. Anak yang bermotivasi akademik memahami bahawa sekolah membantu mereka membangunkan kemahiran, nilai dan peluang untuk masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Aziah berkata anak yang mempunyai motivasi akademik tinggi tidak mudah berputus asa apabila menghadapi kesukaran dalam pembelajaran kerana mereka melihat cabaran sebagai peluang untuk belajar dan terus berusaha memperbaiki diri.

Dalam pada itu, Salbiah berkata kerajaan Perak melaksanakan pelbagai kajian dalam memberi panduan kepada golongan ibu meningkatkan keberkesanan kepimpinan mereka dalam keluarga.

Beliau berkata pihaknya melaksanakan kolaborasi strategik dengan pihak berkaitan bagi menyebarluaskan pelbagai maklumat mengenai asas pembentukan keluarga berdasarkan kajian yang dilakukan pihak tertentu.

"Jadi, kajian ini dibuat untuk memastikan kita membuat keputusan berdasarkan data. Bukan hanya sekadar cakap-cakap dan kita membuat program yang memberi impak kerana kita perlu mengenal pasti akar umbi masalah tersebut," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan