PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Satu memorandum persefahaman bakal ditandatangani dengan Kementerian Pendidikan bagi memperkenalkan program latihan kefahaman undang-undang secara berterusan kepada warga sekolah, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata setiap minggu, pihaknya akan turun ke pejabat pendidikan negeri untuk mengadakan program dengan pengetua serta guru kaunseling berhubung kefahaman undang-undang sedia ada termasuk berkaitan buli dan jenayah seksual.
"Sekolah banyak berhadapan dengan kanak-kanak selama enam hingga lapan jam sehari, (mereka) perlu memahami (kewujudan) undang-undang dan peka.
"Itu adalah objektif Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU)... pelaksanaan undang-undang satu perspektif, keduanya kefahaman undang-undang... apa gunanya undang-undang itu hebat kalau rakyat tidak tahu undang-undang itu ada untuk melindungi mereka," katanya.
Justeru, Azalina berkata beliau telah mengarahkan Akademi Perundangan untuk menyediakan program latihan kefahaman undang-undang kepada warga pendidik.
"Contohnya, Seksyen 19 di bawah Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak, (pengurusan) sekolah dan pengetua kena tahu (jika) berlaku under reporting, sekolah dan pengetua pun didapati salah… bila tengok kanak-kanak itu dah lain sikit, dia tak nak campur, dia takut kena marahlah… Persatuan Ibu Bapa dan Guru tak puas hati, kita pun tak tahu… tapi prosedur ada," katanya.
Beliau juga berkata kes gangguan seksual kini semakin berkurangan kerana masyarakat sedar wujud akta khusus dan mereka lebih berhati-hati kerana tahu perbuatan atau percakapan tertentu adalah salah di sisi undang-undang.
Dalam konteks buli, Azalina berkata pendekatannya adalah sama dan kes mungkin berkurangan jika rakyat tahu wujud sistem tribunal.
"Bila rakyat tahu adanya sistem tribunal yang pantas, mungkin (kes buli) kurang sikit… sebab dia tahu sistem mahkamah ini makan masa," katanya.
Mengenai hukuman sebatan, beliau berkata kerajaan sedang menilai keberkesanannya melalui Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC).
"Antara cabaran terbesar hari ini ialah menentukan sejauh mana ia harus diguna pakai dan bagi kesalahan yang bagaimana... kita perlu mengkaji perkara ini semula.
"Sebagai contoh, dalam konteks hukuman sebat di sekolah… terdapat banyak aspek yang perlu dipertimbangkan… Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah sedang menilai sebatan sebagai antara kemungkinan hukuman bersama pelbagai hukuman lain," katanya.
Azalina berkata ini penting kerana banyak undang-undang yang diwarisi dari zaman penjajahan dan perlu dinilai semula.
Beliau juga mengakui bahawa berlaku pertindihan dalam sesetengah undang-undang yang perlu dipertimbangkan semula dan dikemas kini.
"Apabila bercakap mengenai kanak-kanak di bawah usia 18 tahun, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan hukuman sebatan... ada proses dan prosedur tertentu… jadi, inilah perkara yang perlu kita teliti," katanya.
-- BERNAMA