PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Malaysia sedang mengatur pemindahan rakyatnya yang terkandas di utara India menggunakan penerbangan terawal susulan banjir dan tanah runtuh akibat hujan monsun berterusan yang telah meragut puluhan nyawa.
Dalam kenyataan pada Rabu, Kementerian Luar berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sedang memantau rapi keadaan selepas banjir besar dan tanah runtuh melanda beberapa negeri di utara India termasuk Jammu dan Kashmir, Himachal Pradesh, Punjab dan Arunachal Pradesh.
“Suruhanjaya Tinggi telah menerima laporan mengenai rakyat Malaysia yang terkandas di Jammu serta Leh, Ladakh. Suruhanjaya Tinggi berjaya menghubungi mereka dan sedang mengatur kepulangan mereka dengan penerbangan terawal yang tersedia,” menurut kenyataan itu.
Memandangkan keadaan yang semakin buruk, rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan perjalanan tidak penting ke kawasan terjejas sehingga dimaklumkan kelak, tambah kenyataan itu.
Kementerian itu akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memberikan perkembangan dari semasa ke semasa.
“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara kekal sebagai keutamaan Kementerian,” jelas kenyataan itu.
Kementerian turut menggesa rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas agar mendaftar kehadiran, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.
Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia di India boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi di alamat 50-M, Satya Marg, Chanakyapuri, melalui telefon di +91-11-2415 9300 / +91-11-2688 1538 / +91-11-2415 9311 (Konsular), atau melalui e-mel di mwdelhi@kln.gov.my.
Media melaporkan sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dan lebih 20 cedera selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh berhampiran kuil Vaishno Devi di Katra, Jammu dan Kashmir, menurut pegawai pada Rabu.
-- BERNAMA