KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Selangor FC kembali ke landasan kemenangan selepas memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri untuk menumbangkan Terengganu FC 5-2 pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Skuad Gergasi Merah berjaya menguasai permainan apabila mendahului 4-0 pada separuh masa pertama, yang menyaksikan penyerang import dari Brazil Chrigor Moraes meledak hatrik selepas mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-17, 36 dan masa tambahan.
Alvin Fortes turut meletakkan skuad kendalian Katsuhito Kinoshi selesa di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-25.
Pasukan pelawat yang belum tewas selepas tiga perlawanan pertama bangkit pada babak kedua apabila menyumbat dua gol masing-masing satu menerusi sepakan penalti Gabriel Silva pada minit ke-69 dan jaringan Junior Ngong Sam pada minit ke-82.
Selangor menjaringkan gol kelima pada masa tambahan babak kedua menerusi penyerang gantian Muhammad Aliff Izwan Yuslan, sekali gus mengutip tiga mata untuk memanjat ke tangga keempat liga dengan mengumpul enam mata, satu mata di belakang Terengganu di tempat ketiga.
Sementara itu, Kuala Lumpur (KL) City FC mendaki ke puncak liga selepas melebarkan rekod tanpa kalah dengan menumpaskan PDRM 3-1 pada pertembungan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Pemain sayap Muhammad Safawi Rasid menjaringkan gol tunggal pada separuh masa pertama selepas meletakkan skuad The City Boys di depan pada minit ke-25.
Pasukan tuan rumah kendalian Risto Vidakovic menambah dua gol lagi pada babak kedua menerusi penyerang Paulo Josue pada minit ke-53 dan sepakan penalti yang disempurnakan Nicolao Dumitru pada minit ke-77, sebelum PDRM memperoleh gol sagu hati hasil penyudah Kyaw Min Oo pada minit ke-90.
KL City kini mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan, sementara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di kedudukan kedua dengan mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan.
-- BERNAMA