KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Grab Malaysia melancarkan video muzik patriotik berjudul Keranamu Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan, sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia yang membina, membentuk dan menggerakkan platform itu, selain meraikan inovasi, kerjasama, perpaduan serta daya tahan yang mendasari #GrabBersamaMalaysia.
Dalam kenyataan, Grab Malaysia berkata video muzik yang dilancarkan pada 24 Ogos lalu menzahirkan komitmen syarikat untuk membangunkan teknologi secara inklusif, berasaskan data dan memberi manfaat kepada komuniti tanpa mengekang inovasi.
Video itu turut menampilkan pelbagai perkhidmatan Grab, termasuk Family Account, Group Order dan GrabMaps, selain syarikat sekutunya GXBank dan Jaya Grocer, yang dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia.
Menurut kenyataan itu, Keranamu Malaysia menjadi peringatan bahawa setiap perjalanan, hidangan dan detik yang dikongsi di Grab digerakkan oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia.
Ketua Pemasaran Grab Malaysia, Ko Li Ping, berkata Keranamu Malaysia meraikan rakyat luar biasa yang membentuk Grab sehingga ke tahap hari ini, dan video muzik itu adalah penghormatan kepada semangat serta sumbangan mereka terhadap kemajuan negara.
“Tumpuan utama adalah kepada insan di sebalik inovasi Grab: rakan pemandu dan penghantar, serta pasukan berbakat yang memetakan jalan, membangunkan dan menyesuaikan teknologi Grab agar dapat dimanfaatkan semua,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Selain video muzik itu, Grab turut berbangga bekerjasama dengan Tourism Malaysia bagi meraikan warisan dan budaya negara, di samping menggalakkan rakyat dan pelancong untuk menjelajah Malaysia melalui pelbagai cara, termasuk menggunakan perkhidmatan GrabCar dan GrabFood.
Kerjasama itu turut diperluaskan ke kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, di mana Grab akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk mempromosikan pengalaman kulinari tempatan serta menarik rakan kongsi korporat bagi memperkenalkan Malaysia ke persada dunia.
“Bagi menjadikan pengalaman ini lebih mudah diakses, Grab menawarkan pelbagai promosi eksklusif Hari Kebangsaan merentas platformnya, daripada potongan harga produk tempatan hingga ke sajian istimewa Malaysia yang dihantar terus ke rumah,” menurut kenyataan itu.
Bagi sambutan Hari Kebangsaan 2025, Grab Malaysia akan menyertai perarakan kebangsaan di Putrajaya dan perarakan negeri di Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuantan dan Pulau Pinang pada 31 Ogos ini.
“Tahun ini, Grab menghimpunkan rakan pemandu, rakan penghantar serta petugas Grab Malaysia, GXBank dan Jaya Grocer untuk memperlihatkan semangat inovasi dan komuniti yang menjadi nadi platform berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Penyertaan itu sekali gus menegaskan komitmen Grab terhadap insan di sebalik kejayaannya, termasuk pemandu, penghantar serta pasukan tempatan yang menyesuaikan teknologi Grab untuk rakyat Malaysia.
Menambah keceriaan, Grab Malaysia turut membuka reruai di Perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya dengan pelbagai aktiviti menarik seperti cabutan bertuah, pemberian barangan eksklusif dan baucar bagi memeriahkan lagi sambutan.
-- BERNAMA