Daripada Harizah Hanim Mohamed
BUSAN, Aug 28 (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC (APEC EMM) ke-15 di Korea Selatan menjadi platform kepada Malaysia untuk bersiap-sedia menghadapi cabaran tenaga selain merapatkan hubungan dengan ekonomi anggota untuk memajukan transformasi tenaga negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata penyertaan pakar industri tenaga dan perkongsian hasil laporan tenaga semasa APEC EMM-15 memberi gambaran jelas dan menyeluruh tentang situasi semasa di negara anggota APEC.
“Ini amat penting untuk membantu kesediaan Malaysia dalammenghadapi semua cabaran yang akan datang.
"Kesemua 21 ekonomi APEC juga bersetuju bahawa kita perlu memberi jaminan bekalan elektrik, kecekapan dan kemampuan dari segi pembayaran oleh pengguna," katanya kepada media Malaysia di luar acara APEC EMM-15, hari ini.
Fadillah juga berkata kestabilan grid kuasa adalah antara topik yang dibincangkan semasa mesyuarat dua hari itu, dengan tumpuan mengenai cara untuk memastikan grid dan sistem yang lebih pintar.
“Secara keseluruhannya, kami mendapat konsensus dari semua negara yang hadir untuk memastikan bagaimana kerjasama antara negara membantu dari segi pemindahan teknologi, perspektif pembiayaan dan juga meningkatkan kecekapan negara di rantau ini melalui kerjasama,” katanya.
-- BERNAMA