Oleh Nur Natasha Aida Ismail
PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Buat julung-julung kalinya makmal bergerak Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia) yang direka khas bagi memberi respons segera terhadap bencana atau ancaman bahan kimia dipertontonkan kepada orang ramai pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Makmal bergerak yang mampu menganalisa sampel bahan kimia di lapangan itu, aset pertama seumpanya di Asia yang berteknologi tinggi membuat kemunculan pertama menerusi perarakan kontinjen KIMIA Malaysia diketuai Muhammad Yazid Ibrahim dan diiringi 60 pegawai kimia.
Ketua Pengarah Jabatan KIMIA Malaysia Marhayani Md Saad berkata aset itu yang diperoleh menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memperkasakan Pasukan Tindakan Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosives (CBRNe) yang ditubuhkan pada Oktober 2022.
“Makmal ini diperoleh susulan insiden pencemaran Sungai Kim-Kim dan insiden pencemaran udara di Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor, pada 2019. Daripada insiden ini, kita dapati ada kekangan, iaitu sampel mengambil masa lama untuk sampai dari lokasi kejadian ke makmal.
“Jadi selepas itu kita usulkan kepada kerajaan untuk kita buat perolehan makmal ini untuk membolehkan makmal itu sendiri pergi ke lapangan, mengambil serta menganalisa sampel untuk mendapatkan keputusan yang cepat,” katanya kepada Bernama selepas perbarisan sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Mengulas lanjut, Marhayani berkata makmal bergerak berkenaan boleh memuatkan kira-kira lima ahli kimia pada satu-satu masa dan dilengkapi bilik analisa, bilik kelengkapan, dron dan alat pengesan second sight stand off gas cloud detector (Bertin) yang boleh mengesan kepulan asap bahan kimia dalam radius lima kilometer.
“Masa amat penting dalam insiden-insiden pencemaran bahan kimia kerana melalui hasil analisa segera kita dapat sediakan laporan awal bagi menentukan jenis pencemaran dan membantu pihak Kementerian Kesihatan memberi rawatan awal kepada mangsa terlibat.
“Selain itu, hasil analisa sampel pada kadar segera juga amat penting bagi kita menentukan tahap keselamatan kawasan insiden dan penilaian risiko di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata aset strategik itu setakat ini belum lagi digunakan sepenuhnya dan pihaknya kini menjalankan ‘baseline study’ di kawasan perindustrian di sekitar Petaling Jaya menggunakan aset berkenaan.
“Kajian itu penting supaya apabila berlaku pencemaran, kita sudah ada penanda aras bagi bacaan normal sekali gus dapat menentukan bacaan pencemaran yang sedang berlaku. Kajian itu kita akan jalankan di kawasan lain juga dari semasa ke semasa,” katanya.
Sebanyak 81 kontinjen melibatkan 14,062 peserta mengambil bahagian dalam perarakan dan perbarisan, yang turut menampilkan 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset darat dan udara, serta 116 haiwan dalam perkhidmatan awam.
-- BERNAMA