SEREMBAN, 31 Ogos (Bernama) -- Negeri Sembilan muncul sebagai negeri pertama menyempurnakan pelaksanaan Fasa 1 projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) melibatkan pembinaan dan penyerahan 27 menara telekomunikasi baharu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pencapaian itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam mempercepat usaha keterangkuman digital bagi memastikan penduduk terutama yang berada di luar bandar mendapat akses Internet lebih baik.
“Projek itu bertujuan meningkatkan liputan Internet di kawasan luar bandar dan menyumbang kepada sasaran keterangkuman digital nasional sekali gus merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kemudahan telekomunikasi itu akan menjadi pemangkin penting kepada pembangunan ekonomi digital negeri selain memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan berdaya saing.
Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam negeri berkata kejayaan itu juga melengkapkan usaha ke arah pembangunan seimbang seiring kemasukan pelaburan berjumlah RM7.25 bilion ke negeri itu, melibatkan 208 projek pada tahun lepas.
Beliau berkata ia merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan serta teknologi tinggi dan daripada jumlah itu, RM3.4 bilion membabitkan pelaburan asing daripada syarikat seperti Safran (Perancis), F&N (Singapura), AntMed (China), My NAFCO (Taiwan) dan Shin Heung Sec (Korea Selatan) yang membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi negeri.
Jelas beliau kedudukan negeri berada berdekatan Lembah Klang menjadi lokasi strategik bagi menerima impak limpahan daripada Konurbasi Nasional yang berkembang pesat selain jaringan infrastruktur yang baik sekali gus meningkatkan kesambungan antara bandar-bandar utama.
“Negeri Sembilan menempatkan lebih 500 syarikat pembuatan asing dan tempatan yang kebanyakannya bertumpu di Seremban, khususnya Nilai, Senawang, Sendayan, dan Enstek. Antara syarikat multinasional yang bertapak termasuk Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd, Coca Cola Bottlers (Malaysia), Dutch Lady Milk Industries Bhd dan Ajinomoto (Malaysia) Bhd,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata selain menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri, keberadaan syarikat berkenaan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, mengukuhkan rantaian nilai dan melonjakkan ekonomi negeri.
Sementara itu, beliau berkata selaras dengan keutamaan kerajaan negeri, rancangan bagi pembangunan fasa pertama Lembah Wawasan Malaysia 2.0 dikenali sebagai projek heartbeat akan memberi tumpuan kepada pembangunan sebuah taman industri teknologi tinggi.
“Projek pertama ini akan dibangunkan di Parcel A Nilai berhampiran kawasan rehat dan rawat Lebuh Raya Utara Selatan, kerja membangunkan kawasan perindustrian Bandar Hamilton itu giat dibangunkan,” katanya menambah pelbagai pembangunan akan diusahakan termasuk di Labu, Pelabuhan Pintar dan Zon Perindustrian Bebas di Port Dickson.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata sebagai sokongan kepada usaha pembangunan berkenaan, ketersediaan infrastruktur adalah penting termasuk menerusi bekalan air terawat, tenaga elektrik yang mencukupi serta kesalinghubungan jaringan jalan dan lebuh raya.
Sementara itu, Aminuddin berkata Negeri Sembilan turut dinobatkan sebagai Negeri Paling Progresif bagi 2024 oleh The International Business Review (IBR) ASEAN Awards 2025 atas prestasi cemerlang termasuk meliputi pelaburan, pembangunan mampan, keterangkuman sosial dan digitalisasi perkhidmatan.
Negeri Sembilan juga negeri pertama di Malaysia melaksanakan Program Penggerak MADANI pada peringkat negeri dengan modul khas dibangunkan secara dalaman melibatkan penjawat awam, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta anggota pentadbiran.
Menyentuh aspek pelancongan, beliau berkata Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 yang menampilkan keunikan Adat Perpatih, keindahan alam semula jadi dan keistimewaan gastronomi menjadi inisiatif berimpak tinggi dilancarkan bagi memacu pertumbuhan sektor pelancongan negeri.
Bagaimanapun, beliau berkata beberapa cabaran dihadapi termasuk menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi selain aspek kebersihan, keselamatan dan kemudahan mesra pelancong yang perlu ditingkatkan secara menyeluruh supaya Negeri Sembilan benar-benar mampu bersaing sebagai destinasi pilihan.
-- BERNAMA