EKONOMI

PTV 3.0 BERMULA SEMALAM, BOLEHKAN PENERIMA STR RANCANG KEWANGAN YANG BAIK, PERLINDUNGAN KELUARGA

02/09/2025 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV), inisiatif kerjasama awam-swasta antara kerajaan dengan industri insurans dan takaful, kini memasuki fasa ketiga dengan pelancaran program PTV 3.0 bermula semalam.

Mengikut program PTV 3.0, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang layak boleh membeli/menyertai produk Perlindungan Tenang daripada syarikat insurans dan pengendali takaful yang menyertai program ini dengan menggunakan bantuan kewangan RM30 daripada kerajaan, dengan baki premium atau sumbangan sekurang-kurangnya RM20 akan ditanggung oleh penerima STR sendiri.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) menjelaskan inisiatif itu adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memperkukuh perlindungan sosial dengan memupuk tingkah laku pengurusan risiko secara proaktif dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah serta menggalakkan keterangkuman kewangan.

Mulai hari ini, penerima STR boleh menyemak kelayakan baucar RM30 mereka melalui portal PTV di www.myptv.my.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata program PTV3.0 bukan sahaja menggalakkan keterangkuman kewangan malah juga memberi peluang penting kepada penerima STR untuk memulakan langkah pertama ke arah perancangan kewangan dan perlindungan keluarga mereka.

“Kolaborasi besar ini mencerminkan komitmen bersama kerajaan dan industri takaful serta insurans dalam memperluas perlindungan sosial dan menyokong agenda pembangunan inklusif negara,” katanya.

Sementara itu, CEO LIAM Mark O’Dell berkata melalui program PTV 3.0, lebih banyak keluarga kini berpeluang mendapatkan perlindungan mampu milik dan mengukuhkan keselamatan kewangan mereka.

“Program ini juga membantu meningkatkan kesedaran mengenai nilai insurans sebagai jaringan keselamatan jangka panjang untuk melindungi keluarga daripada cabaran hidup yang tidak dijangka,” katanya.

CEO PIAM Chua Kim Soon pula berkata menerusi PTV 3.0 penyedia insurans am dapat melaksanakan peranan dalam memperluas perlindungan mampu milik melalui produk insurans kemalangan diri kepada komuniti yang paling memerlukan perlindungan.

“Ini penting khususnya bagi pekerja e-panggilan, p-hailing, pekerja gig, peniaga kecil F&B, petani dan penjaga yang memerlukan perlindungan kewangan untuk kelangsungan hidup mereka.

“Dengan meliputi kumpulan ini, program ini bukan sahaja membantu penerima STR melindungi diri daripada risiko harian malah juga mengukuhkan daya tahan kewangan isi rumah,” katanya.

Selain MTA, LIAM dan PIAM, program PTV 3.0 turut disokong oleh Malaysian Reinsurance Bhd dan Insurance Services Malaysia Bhd (ISM).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan