TUMPAT, 4 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan hari ini melancarkan Program Pasar Patuh (3P) peringkat negeri sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan berhemah bagi membentuk persekitaran perniagaan kondusif, telus dan berkat.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata inisiatif ini diwujudkan bagi menekankan elemen kawalan kendiri dalam kalangan peniaga sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap integriti perniagaan di negeri ini.
"Melalui 3P ini, KPDN bukan sahaja memastikan pematuhan undang-undang oleh peniaga malah menggalakkan amalan perniagaan beretika, berhemah dan berkat.
"Usaha ini juga merupakan simbol komitmen kementerian untuk mendekatkan penguat kuasa dengan rakyat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program tersebut di Pasar Sumayyah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azman berkata sekurang-kurangnya sebuah Pasar Patuh akan diwujudkan di Kelantan pada tahun ini dengan pemilihan pasar berdasarkan beberapa ciri utama termasuk mempunyai lebih 25 gerai aktif, lesen perniagaan yang sah, peniaga serta pekerja tempatan, pengasingan ruang jualan halal dan tidak halal, selain komitmen terhadap pematuhan undang-undang.
Beliau berkata pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada pelbagai agensi termasuk Seksyen Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan serta syarikat penentusahan alat timbang dan sukat.
"Program tersebut akan melalui lima fasa utama iaitu pemilihan pasar, bengkel pemantapan pelan tindakan dan projek rintis, pelaksanaan serta pemantauan, penilaian dan pemarkahan sebelum diberi penarafan serta penganugerahan.
"KPDN Kelantan yakin dengan pelaksanaan berstruktur ini dan 3P mampu menjadi penanda aras baharu dalam mewujudkan budaya perniagaan yang lebih berintegriti serta memberi manfaat secara langsung kepada pengguna dan peniaga," katanya.
Beliau berkata sejak Januari hingga hari ini, KPDN Kelantan telah mengeluarkan 455 kompaun terhadap peniaga bernilai RM136,600 atas pelbagai kesalahan termasuk tiada tanda harga, gagal meletakkan tanda harga, timbang tidak tentusahkan dan alat timbang tamat tempoh penentusahan.
"Selain itu, 38 pasar raya bersetuju mengadakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bermula 27 Ogos hingga 16 Sept.
"Kita turut mengadakan PJRM di kampus universiti iaitu RAHMAH@Kampus di Universiti Malaysia Kelantan dan Hospital Universiti Sains Malaysia untuk penuntut mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah," katanya.
-- BERNAMA