AM

JALUR GEMILANG GERGASI LARIS BAK PISANG GORENG PANAS

04/09/2025 07:37 PM

KOTA BHARU, 4 Sept (Bernama) -- Tempahan Jalur Gemilang termasuk bersaiz gergasi laris bak pisang goreng panas bersempena dengan Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 Sept ini dan Hari Kebangsaan yang baru sahaja berlalu, iaitu pada 31 Ogos lepas.

Pengurus syarikat pembekal bendera The Sports House Siti Zaleha Yakub berkata tempahan diterima sejak Jun, dengan Jalur Gemilang berukuran 20x40 kaki yang hampir menyamai bangunan tiga tingkat  berharga RM2,600 sehelai, antara yang mendapat permintaan tinggi.

“Tempahan meningkat tiga bulan sebelum Hari Kebangsaan dan hingga pertengahan Ogos sahaja, lebih 100 helai Jalur Gemilang gergasi telah terjual, malah kami turut menerima tempahan khas untuk saiz bendera yang lebih besar. 

“Pernah juga pelanggan menempah Jalur Gemilang bernilai belasan ribu ringgit bergantung pada saiz dan fabrik (material) dengan sehelai bendera gergasi mampu mencecah berat hingga lima kilogram,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Syarikat itu yang terletak di Jalan Gajah Mati, di sini pernah menerima tempahan Jalur Gemilang berukuran 50x200 kaki yang dipertontonkan ketika perbarisan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka beberapa tahun lepas.

Siti Zaleha berkata bendera dihasilkan oleh kilang tempatan menggunakan fabrik terpilih antaranya poliester, microfibre dan mashiro yang sebahagiannya diimport bagi memastikan kain ini tahan panas dan hujan.

“Kain microfibre lebih tahan lama dan tidak mudah luntur, tetapi harganya lebih mahal berbanding mashiro. Namun, kualiti menjadi keutamaan kerana pelanggan mahu Jalur Gemilang itu digunakan untuk tempoh panjang,” katanya.

Siti Zaleha berkata The Sports House yang beroperasi sejak 1992 bukan sahaja menjual Jalur Gemilang dan bendera negeri, malah turut menawarkan bendera negara lain dengan pelbagai saiz bermula daripada sekecil 2x4 kaki berharga RM3.50 sehingga saiz gergasi, selain kelengkapan sukan.

Syarikat itu turut membekalkan jalur hiasan, kain rentang dan pelekat yang menjadi pilihan popular sekolah, stesen minyak serta pertubuhan bukan kerajaan sepanjang Bulan Kebangsaan.

“Kami mempunyai dua cawangan di Kota Bharu dan Kuala Lumpur dengan tujuh petugas termasuk pengurus besar. Setiap kali tiba Ogos, pelanggan pasti ingat kedai ini kerana stok Jalur Gemilang sentiasa ada,” katanya.

Dengan jumlah tempahan yang semakin meningkat saban tahun, Siti Zaleha berharap trend mengibarkan Jalur Gemilang gergasi bukan sahaja menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, malah dapat menyuburkan jiwa patriotik dalam kalangan rakyat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan