AM

SIHAT MALAYSIA 2025: LEBIH 1,000 KELUARGA BERKUMPUL DI ECO GALLERIA BANTU BAYI PRAMATANG

04/09/2025 10:30 PM

ISKANDAR PUTERI, 4 Sept (Bernama) -- Lebih 1,000 keluarga berkumpul di  Eco Galleria di sini, pada hujung minggu panjang sempena Hari Kebangsaan bagi menyokong usaha penting di bawah inisiatif Sihat Malaysia 2025: Mission 1000 - Family Hearts for Little Lives yang bertujuan meningkatkan penjagaan bayi pramatang. 

Berlangsung dari 29 Ogos hingga 1 Sept, program empat hari itu melibatkan penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan kesihatan dan kekeluargaan sambil mengumpul dana untuk membeli inkubator bagi unit rawatan rapi neonatal (NICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor.

Yuran penyertaan RM30 bagi setiap kumpulan keluarga disalurkan sepenuhnya bagi tujuan itu, dengan jumlah keseluruhan RM42,950 berjaya dikumpul.  

Pengurus Besar Bahagian Eco South Phan Yan Chan menyerahkan sumbangan itu kepada Pengasas Bersama Kumpulan Kehamilan, Penyusuan dan Keibubapaan Cheah Mun Wei dalam majlis penyerahan pada 1 Sept.

Dana itu akan diserahkan kepada Alpro Pharmacy di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang akan menguruskan perolehan dan penghantaran terus inkubator kepada HSI dengan sebarang kekurangan pembiayaan ditampung sepenuhnya oleh EcoWorld.

“Di EcoWorld, kami percaya mewujudkan impak berkekalan menerusi inisiatif yang menyentuh kehidupan. Melalui Misi 1,000, kami bukan sahaja menyatukan keluarga tetapi juga membantu bayi pramatang mendapat penjagaan perubatan kritikal yang sangat diperlukan. 

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada kempen AnakAnakMalaysia (AAM) tahun ini, dengan tema Sihat Malaysia yang meraikan perpaduan, kesejahteraan dan semangat komuniti bagi menggalakkan rakyat Malaysia hidup lebih sihat dan kuat,” kata Phan. 

Antara tarikan pada program itu ialah Time Attack Family Challenge melibatkan lapan stesen interaktif, pertandingan memasak hidangan sihat ibu bapa dan anak, bengkel gendang, shrink art & face painting serta cabaran bakat amatur. 

Pengunjung juga menikmati Merdeka Fiesta Market yang meriah, persembahan busking secara langsung dan kemeriahan Malaysia Vibes Night menjadikan acara berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotisme serta mesra.

Sihat Malaysia 2025 merupakan program utama di bawah kempen AAM 2025 anjuran EcoWorld sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, mencerminkan komitmen menyeluruh mereka dalam membina komuniti lebih sihat, kuat serta bersatu.

Menggabungkan elemen kesejahteraan, keseronokan keluarga dan kebajikan, Misi 1,000 menjadi bukti kekuatan tindakan kolektif dalam membawa perubahan bermakna kepada kehidupan golongan paling terdedah di Malaysia, iaitu bayi pramatang.

EcoWorld merupakan pemaju hartanah tersenarai di Bursa Malaysia dengan pegangan tanah lebih 11,000 ekar di Lembah Klang, Iskandar Malaysia, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, serta jumlah anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM94 bilion.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan