SUKAN

HARIMAU MALAYA LEBAR REKOD TANPA KALAH DI BAWAH CKLAMOVSKI

04/09/2025 11:55 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah di bawah kendalian ketua jurulatih Peter Cklamovski selepas menewaskan musuh tradisi, Singapura, 2-1, pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Pada aksi ‘Derbi Tambak’ pertamanya, Cklamovski melakukan empat pertukaran pemain daripada kesebelasan utama yang menewaskan Vietnam 4-0 pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027, Jun lepas.

Pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi hampir membuka tirai jaringan pada minit kelima, namun rembatan beliau dalam kotak penalti ditepis penjaga gol pelawat, Mohamad Izwan Mahbud, yang sekali lagi cemerlang menafikan percubaan jarak dekat Stuart Wilkin empat minit kemudian.

Dominasi skuad Harimau Malaya akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-26 apabila Wilkin menyudahkan hantaran lambung Endrick dos Santos dengan rembatan kencang dari jarak dekat untuk menewaskan Mohamad Izwan.

Persembahan bertenaga Malaysia pada babak pertama turut menyerlahkan gandingan serangan Joao Figueiredo dan Endrick yang menjadi tumpuan.

Memasuki babak kedua, pasukan negara, yang berada di ranking ke-125 dunia, terus garang memburu jaringan tambahan sebelum berjaya menambah gol apabila hantaran lintang Wilkin dari sebelah kanan mudah disudahkan Figueiredo pada minit ke-55.

Namun, kegembiraan Malaysia sedikit tercalar selepas kehilangan khidmat pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor, yang terpaksa diusung keluar kerana kecederaan pada minit ke-60 dan digantikan oleh Sergio Aguero, sebelum Wilkin turut direhatkan bagi memberi ruang kepada Quentin Cheng.

Quentin hampir meledak jaringan pada sentuhan awalnya, namun rembatan deras pada minit ke-65 tepat ke arah Mohamad Izwan.

Singapura, yang lebih tersusun selepas melakukan pertukaran pemain, berjaya merapatkan kedudukan menerusi penyerang gantian Ilhan Fandi, yang melepaskan rembatan cantik dari luar kotak penalti untuk menewaskan Muhammad Haziq Nadzli pada minit ke-72.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia kembali menggandakan asakan dengan peluang terbaik hadir pada minit ke-81 apabila penyerang gantian Romel Morales melepaskan rembatan padu, namun Mohamad Izwan sekali lagi bertindak cemerlang di gawang, sekali gus mengekalkan keputusan 2-1 sehingga wisel penamat.

Sebagai rekod, Malaysia di bawah bimbingan Cklamovski belum tewas di pentas kompetitif dengan rekod dua kemenangan dan satu seri dalam tiga perlawanan pertamanya sejak dilantik awal tahun ini.

Malaysia selepas ini akan bertemu Palestin dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, Isnin depan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan