AM

LELAKI DIKHUATIRI LEMAS SEMASA MANDI SUNGAI

05/09/2025 11:52 AM

IPOH, 5 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila tidak pulang ke rumah selepas memaklumkan ingin mandi di Sungai Baru Labu, Bota Kiri dekat Seri Iskandar, Rabu lepas.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 5.46 pagi tadi. 

Mangsa Muhammad Nurman Mohd Nor, 27, dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 2 petang Rabu, selepas memasukkan lembu ke kandang. 

“Mangsa memberitahu ingin mandi sungai kepada bapanya, namun hanya baju ditemukan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazlean berkata operasi mencari dan menyelamat oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar melibatkan jarak sejauh tiga kilometer dari Jeti Jabatan Pengairan dan Saliran Teluk Sena menghala lokasi mangsa hilang di Kampung Baru Lambor Kiri.

Operasi turut melibatkan polis dan persatuan nelayan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan