AM

KUALITI BERAS TEMPATAN SETANDING DENGAN IMPORT - MARDI

05/09/2025 11:53 AM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sentiasa komited memastikan kualiti Beras Putih Tempatan (BPT) setanding dengan beras import, walaupun ada yang beranggapan BPT cepat basi, berbau dan menghasilkan nasi yang lembik.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata pemantauan kualiti BPT, dilaksanakan secara menyeluruh bermula dari peringkat benih asas hingga kepada penghasilan beras.

“Di Malaysia, kita mempunyai skim khas iaitu Skim Pengesahan Benih Padi (SPBP) bagi memastikan benih yang diedarkan kepada petani adalah asli, berkualiti, berdaya hasil tinggi dan bebas penyakit.

“Kita (MARDI) juga menjalankan ujian makmal bagi memastikan benih yang dihasilkan mempunyai kadar percambahan tinggi, sekali gus mengelakkan pengedaran benih yang tidak berkualiti. Piawaian turut ditetapkan untuk padi dan beras menerusi spesifikasi yang dibangunkan Jabatan Standard Malaysia (JSM)  dan SIRIM Berhad.

“Standard ini merangkumi spesifikasi dan gred bagi padi serta beras, termasuk tahap ketulenan, kadar beras patah dan kawalan terhadap kewujudan bahan asing seperti batu, habuk atau sisa kayu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini

Mohamad Zabawi berkata dengan standard itu, beras yang dihasilkan mempunyai kualiti terbaik dari segi mutu, fizikal dan keselamatan, selain memiliki kualiti setara dengan beras import kerana kedua-duanya menawarkan mutu yang hampir sama dari segi tekstur, aroma dan kandungan nutrisi.

Menyentuh dari segi perbezaan segi rasa atau kelembutan pula, beliau berkata perkara itu bergantung kepada cita rasa individu, namun secara saintifik beras tempatan terbukti setanding dengan beras import.

“Tidak ada perbezaan ketara antara beras import dengan beras tempatan. Contohnya, varieti MR333 atau dikenali Menora yang baru dilancarkan MARDI, mempunyai saiz panjang hampir sama dengan beras Siam.

“Begitu juga dengan varieti beras wangi tempatan seperti MRQ76 yang mempunyai aroma lembut dan setanding dengan Thai Jasmine Rice. Perbezaannya lebih kepada selera pengguna,” katanya.

Mohamad Zabawi berkata Padiberas Nasional Bhd (Bernas) turut melaksanakan kawalan ketat menerusi makmal berakreditasi ISO 17025:2017 yang dilengkapi kemudahan ujian fizikal, kimia dan deria.

Beliau berkata Bernas turut bekerjasama dengan Jabatan Kimia Malaysia bagi menganjurkan ujian perbandingan antara makmal serta ujian kemahiran, bagi memperkukuh ketepatan analisis dan kebolehpercayaan hasil kawalan kualiti beras tempatan.

Mengulas mengenai nilai khasiat, Mohamad Zabawi menjelaskan sebahagian varieti beras tempatan mempunyai kelebihan tersendiri, yang memberi manfaat kepada pengguna.

“Sebagai contoh beras wangi varieti MARDI MRQ103 mempunyai indeks glisemik (GI) yang rendah dan sesuai untuk pesakit kencing manis atau individu yang mengawal diet. Ia bukan bermakna menyembuhkan penyakit, tetapi memberi pilihan lebih sihat kepada pengguna,” katanya.

Sementara itu pengguna beras tempatan Hadija Esa, 35, berkata antara faktor utama beliau memilih beras tempatan adalah kerana kualitinya yang setanding dengan beras import.

“Beras tempatan bukan sahaja mempunyai harga subsidi yang membantu pengguna menjimatkan kos, malah dari segi kualiti, ia tidak kalah dengan beras import. Tekstur, aroma dan rasa semuanya memuaskan,” katanya yang merupakan ibu kepada empat orang anak.

Bagi Mohd Hanafiah Omar, 58, pula berkata beras tempatan sentiasa menjadi pilihan utama kerana ia bukan sahaja lebih baik dari segi kualiti, malah pembelianya dapat membantu petani menambah pendapatan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Saya harap kerajaan akan terus memberikan sokongan termasuk subsidi bagi memastikan industri beras tempatan terus berkembang, meningkatkan kualiti produk, dan memudahkan urusan petani,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan