KANGAR, 6 Sept (Bernama) -- Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM900 benar-benar membantu meringankan beban ditanggung Amaladin Ramli, 66, yang tinggal bersama lapan ahli keluarganya di Kampung Salang, Jalan Kaki Bukit, di sini.
Amaladin yang hanya bekerja kampung itu berkata beliau sekeluarga akan memanfaatkan sepenuhnya bantuan tersebut dengan berbelanja secara berhemah untuk menampung keperluan bulanan.
Selain dirinya, isterinya yang berusia 57 tahun dan tidak bekerja, enam anak berusia antara 19 hingga 32 tahun, serta adik lelakinya berusia 63 tahun yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran, turut menerima SARA sebanyak RM100 setiap seorang.
Menurutnya tiga anaknya bekerja sebagai peniaga makanan, seorang lagi bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), seorang bekerja sambilan di syarikat swasta, manakala anak bongsu masih menuntut di Kolej Sains Kesihatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya.
“Mereka boleh menggunakan bantuan SARA mengikut keperluan masing-masing. Ada yang membantu membeli barangan asas rumah, manakala anak yang masih belajar dapat membeli keperluan sendiri.
“Hari ini, keluarga saya membelanjakan RM300 daripada bantuan SARA bagi membeli barangan dapur,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, baru-baru ini.
Amaladin yang turut menjaga adiknya yang OKU berkata, nilai RM100 yang diterima setiap seorang itu amat signifikan kerana sedikit sebanyak membantu menjimatkan kos perbelanjaan mereka.
Katanya pemberian itu juga membuktikan kerajaan tidak pernah mengetepikan golongan B40 dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
“Dalam keadaan sekarang, semua orang berasa terbeban. Tetapi dengan adanya inisiatif seperti ini, jelas kerajaan mengambil berat.
“Saya berharap SARA dapat diteruskan kerana ia bukan sahaja meringankan beban, malah memberi semangat kepada keluarga besar seperti saya untuk terus bertahan,” katanya.
Program SARA adalah bantuan tunai bersasar yang kini diperluas kepada 5.4 juta penerima, termasuk 700,000 penerima sedia ada dalam eKasih dan 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Menerusi Belanjawan 2025, peruntukan bagi STR dan SARA ditingkatkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelumnya. Kadar tahunan SARA juga dinaikkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 tahun lalu.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan, kerajaan turut mengumumkan pemberian sekali gus sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas di bawah program SARA.
Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dengan tambahan peruntukan RM2 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan STR dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, iaitu yang tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.
-- BERNAMA