AM

NGA SUMBANG PENGHARGAAN SARA KEPADA GOLONGAN MEMERLUKAN

06/09/2025 06:11 PM

IPOH, 6 Sept (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, hari ini menunaikan janjinya dengan menyalurkan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada golongan yang memerlukan.

Menurut kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang membawa 28 kanak-kanak anak yatim dari The Salvation Army untuk membeli barangan keperluan harian di sebuah pasar raya di sini.

Beliau disertai Setiausaha Politiknya merangkap ADUN Menglembu Chaw Kam Foon; ADUN Pasir Pinji Goh See Hua, ADUN Tronoh Steven Tiw Tee Siang, serta Setiausaha Politik ADUN Kepayang merangkap Ketua Whip Ahli Majlis Bandaraya Ipoh Wong Kar Keat.

Nga menasihati orang ramai agar memanfaatkan sepenuhnya Penghargaan SARA dalam tempoh tiga bulan dan menyarankan mereka yang tidak memerlukan agar menyumbangkannya kepada golongan lebih memerlukan.

Terdahulu, dalam sidang media selepas merasmikan TRM Taman Westpool di sini, Nga berkata beliau merupakan individu pertama yang menyatakan hasrat untuk menyalurkan Penghargaan SARA kepada golongan memerlukan, susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai inisiatif tersebut baru-baru ini.

"Inisiatif SARA ini sangat membantu kerana setiap rakyat Malaysia akan dapat imbuhan. Apabila kerajaan bersih, berintegriti, maka rakyat boleh dapat imbuhan," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan